Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga tanah RM13.80kps di Puchong selari data Napic - Wong Chen
Diterbitkan:  Apr 25, 2026 12:37 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata angka yang didedahkan kerajaan Selangor mengesahkan bahawa tanah rizab Hutan Ayer Hitam seluas 169 ekar yang diperoleh Jakel Group dijual pada harga RM13.80 sekaki persegi (kps), selari dengan semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

Dalam reaksi segera terhadap kenyataan media Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Wong berkata pengesahan harga keseluruhan RM101 juta secara langsung menunjukkan kadar sebenar per kaki persegi.

“Menteri besar dalam kenyataannya telah mengesahkan tanah itu dijual pada RM13.80 sekaki persegi, walaupun penjelasannya agak panjang.

“Apabila beliau menyatakan jumlah RM101 juta, itu secara langsung membuktikan kadar tersebut. Ini bermakna data RM13.80 sekaki persegi yang kami peroleh daripada Napic adalah betul.

“Sama ada kadar RM13.80 sekaki persegi itu murah atau tidak, saya serahkan kepada penilai profesional dan pakar hartanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 16 April lalu, Wong menggesa kerajaan Selangor menjelaskan dakwaan bahawa 68.4 hektar tanah rizab Hutan Ayer Hitam yang dikatakan telah dijual pada harga rendah.

Ahli parlimen itu berkata semakan melalui Napic menunjukkan tanah tersebut diperoleh Jakel pada harga hanya RM13.80 bagi setiap kaki persegi.

Wong turut menggesa kerajaan negeri membeli semula tanah itu daripada pemaju sekiranya dakwaan tersebut benar.

Dalam kenyataan petang semalam, Amirudin menjawab tiga dakwaan yang menurutnya sering diulang, iaitu bahawa tanah tersebut ialah rizab hutan yang dinyahwartakan, telah diluluskan untuk pembangunan, dan dijual di bawah nilai pasaran.

Dia berkata dua daripada isu itu, terutama berkaitan status tanah, sebenarnya telah dijelaskan beberapa bulan lalu. Namun, dakwaan tersebut terus diulang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berhampiran kawasan Hutan Ayer Hitam di Puchong.

“Namun begitu, masih terdapat pihak yang mengulangi dakwaan palsu dengan hasrat meraih sokongan politik murahan.

“Tindakan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang beranggapan bahawa kawasan seluas 168 ekar yang terletak berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara akan dibangunkan untuk tujuan komersial ataupun perumahan,” katanya.

Amirudin berkata, tanah seluas 168 ekar yang dirujuk bukan merupakan kawasan Hutan Simpan Kekal kerana tanah tersebut telah dinyah warta pada tahun 1926, 100 tahun lalu.

“Berhubung isu pembangunan pula, pentadbiran ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu.

“Sebaliknya, pada tahun 1996, kerajaan negeri pada ketika itu telah meluluskan pemberimilikan tanah kerajaan seluas 168 ekar itu kepada dua syarikat, iaitu Citrasama Projek Sdn. Bhd. dan Metroway Sdn. Bhd. untuk pembangunan Perumahan Kos Rendah.

“Permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju telah ditolak oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya pada tahun 2003 kerana 75 peratus kawasan tersebut dikategorikan sebagai cerun Kelas III dan IV, iaitu cerun melebihi 25 darjah dan tidak sesuai untuk dibangunkan,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri kemudian membatalkan projek tersebut pada 2010 dan berjaya mempertahankan keputusan itu di mahkamah sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan , yang mengesahkan tanah itu tidak sesuai untuk pembangunan.

Keputusan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan juga memihak kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (kini Majlis Bandaraya Subang Jaya), yang menegaskan bahawa keputusan pihak berkuasa tempatan untuk tidak membenarkan pembangunan adalah tepat berikutan keadaan cerun.

“Isu ketiga adalah melibatkan harga tanah tersebut dijual kononnya di bawah harga pasaran, iaitu pada harga RM13.80 sekaki persegi bersamaan dengan RM101 juta.

“Susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan projek perumahan tersebut, pada tahun 2012, tanah tersebut dihasratkan untuk dijual melalui proses tender terbuka.

“Kemudian, juruperunding hartanah telah dilantik untuk menilai harga pasaran tanah pada tahun 2012. Nilai yang dimuktamadkan adalah RM13.02 sekaki persegi ataupun RM95.3 juta secara keseluruhan.

“Tiga syarikat telah terlibat dalam proses tender terbuka, dan keputusan telah diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta, iaitu kadar 5.90 peratus melebihi harga penilaian,” katanya.

Tambah Amirudin, kesimpulannya, kerajaan negeri melalui MBSJ menegaskan tanah itu tidak selamat untuk pembangunan komersial atau perumahan berdasarkan topografi cerun Kelas III dan IV, seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Amirudin turut berkata dia telah menjelaskan pendirian kerajaan negeri kepada wakil persatuan penduduk serta memperbetulkan persepsi terhadap tiga dakwaan yang disifatkan tidak berasas.

Jelasnya, penduduk turut mencadangkan agar laluan mendaki ke Hutan Ayer Hitam dikekalkan untuk kegunaan komuniti setempat dan pendaki di Puchong, dan cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat exco negeri serta dibincangkan dengan pemilik tanah.

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Wong turut mencabar Amirudin menamakan individu atau pihak yang didakwa menyebarkan “dakwaan palsu” dan “pihak tidak bertanggungjawab” yang dimaksudkannya berhubung isu penjualan tanah di Puchong yang cuba meraih sokongan politik murahan.

“Saya menasihatkan menteri besar supaya menamakan secara jelas individu atau pihak yang dimaksudkan pihak tidak bertanggungjawab dan pihak yang mengulangi dakwaan palsu dengan hasrat meraih sokongan politik murahan.

“Dalam semua kenyataan media saya dari Disember 2025 hingga April 2026, saya tidak pernah mendakwa tanah itu adalah sebahagian rizab hutan atau telah diluluskan untuk pembangunan.

“Saya secara konsisten hanya meminta penjelasan mengenai kronologi bagaimana tanah ini dinyahwartakan dan kemudian dijual kepada Jakel, termasuk butiran transaksi dan harga jualan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS