mk-logo
Berita
Putra minta polis tahan 'Sofia' untuk siasat dakwaan terkait PM, Farhash
Diterbitkan:  Apr 25, 2026 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Parti Putra hari ini mendesak pihak berkuasa menahan seorang wanita yang dikenali sebagai Sofia bersama individu yang bercakap dengannya bagi membongkar dakwaan terkait Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pegawainya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulutfi Sharif, berkata dakwaan yang dibuat “Sofia” itu sangat serius kerana membabitkan nama perdana menteri dan dana yang bernilai berbilion ringgit.

Katanya, tuduhan tersebut boleh menggugat kepentingan serta keselamatan negara.

“Pada 24 April anggota Dewan Tertinggi Putra, Norsharizal Nordin, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk menggesa pihak berkuasa segera membuka kertas siasatan dan menahan Sofia serta lelaki yang sedang bercakap dengannya untuk merekod kenyataan serta mengambil tindakan wajar dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nama Sofia – atau Sofia Rini Buyong – sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul bercakap tentang individu dikenali sebagai Anwar dan Farhash.

Semalam Anwar memberitahu media dia tidak perlu menjawab isu berkenaan, sebaliknya meminta pihak yang membuat tuduhan agar mengemukakan bukti jika tuduhan tersebut benar.

"Kalau 1,000 orang komen begitu saya kena jawab semua... Kalau ada bukti, bawalah.

"Kalau tak macam ni jadi sarang fitnah dan sebagainya. Kita tak nak layan, saya banyak kerja,” kata di Johor Bahru.

Malaysiakini sudah menghubungi Sofia dan Farhash untuk mendapatkan komen. Butiran dakwaan yang dibangkitkan dalam video itu tidak didedahkan sementara menunggu maklum balas mereka.

Shahrulutfi berkata siasatan yang telut boleh membantu membersihkan nama Anwar yang sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.

“Putra memohon semua lapisan masyarakat baik ahli parlimen, parti politik, NGO dan mahasiswa prihatin dapat bersuara dan mengambil tindakan yang sewajarnya demi kepentingan negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS