Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pemuda DAP sertai demo Tangkap Azam Baki bukan untuk lemahkan kerajaan'
Diterbitkan:  Apr 25, 2026 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Penolong Setiausaha Publisiti Pemuda DAP, Syaheera Ghaffar, berkata sayap itu menyertai Himpunan “Tangkap Azam Baki” di ibu negara hari ini bagi menunjukkan pendirian serta komitmen terhadap integriti, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya tindakan itu bukan bertujuan melemahkan kerajaan, sebaliknya untuk memperkukuh asas pemerintahan melalui kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Sebagai sayap pemuda kepada parti yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan, DAP kekal konsisten dalam mengangkat nilai integriti, memelihara hak demokrasi rakyat, memperkukuh tadbir urus serta memastikan kredibiliti institusi negara terus terpelihara.

"Justeru, penyertaan DAPSY dalam himpunan ini bukanlah satu percanggahan, tetapi manifestasi tanggungjawab kami bersama rakyat dalam memastikan kestabilan dan kepercayaan terhadap institusi kerajaan terus dipertahankan," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, penglibatan DAPSY dalam himpunan itu membawa tiga mesej: menyokong tuntutan rakyat untuk ketelusan, mempertahankan akauntabiliti dan integriti institusi antirasuah, serta menunjukkan keberanian anak muda menyuarakan reformasi institusi secara aman.

"Saya turut berpandangan penyertaan ini bukan bertujuan melemahkan kerajaan, sebaliknya untuk memperkukuh asas pemerintahan melalui kebertanggungjawaban dan ketelusan.

“Kami dari DAPSY berdiri bersama rakyat kebanyakan yang mahukan jawapan, keadilan dan reformasi sebenar dalam sistem pentadbiran negara," katanya.

Himpunan Tangkap Azam Baki pada hari ini diteruskan meskipun selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah akan memilih sendiri pengganti jawatan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz sebelum ini berkata kontroversi berkaitan SPRM bukan isu berkaitan Azam Baki semata-mata tetapi isu sistem dan struktur.

“Kes pegangan saham, mafia korporat, ketelusan dalam siasatan, termasuk kes kematian Arwah Ahmad Saibaini dan mendiang Teoh Beng Hock menjadi kewajaran untuk kerajaan umumkan RCI.

“Justeru himpunan Sabtu ini akan menjadi medan untuk rakyat bangkit menentang kerosakan dalam SPRM ini hingga satu Reformasi secara menyeluruh terhadap SPRM dilaksanakan,” katanya.

Kedudukan Azam sebelum ini dipertikaikan setelah media antarabangsa, termasuk Bloomberg dan The Straits Times, melaporkan berkaitan pegangan besar sahamnya yang melebihi jumlah dibenarkan bagi penjawat awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS