Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik, Abdul Halim Aman, supaya memberi perhatian kepada isu “mafia korporat”, serta skandal pemilikan saham syarikat yang melibatkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Damansara itu berkata Halim perlu menyatakan visinya untuk SPRM dan membentangkan pelan tindakan yang jelas bagi reformasi, supaya kebebasan SPRM terpelihara dan penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan pada masa depan.
Gobind berkata perkara itu penting untuk memulihkan keyakinan awam terhadap agensi anti-rasuah itu, yang kini terpalit dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan salah laku.
“Berkaitan dakwaan mafia korporat, terdapat persoalan yang dibangkitkan mengenai penglibatan yang disyaki oleh beberapa pegawai SPRM dalam urusan korporat ketika siasatan dijalankan. Dakwaan serius ini memberi kesan kepada integriti dan kredibiliti SPRM. Ia mesti ditangani tanpa rasa takut, pilih kasih atau kelewatan, dengan garis masa yang jelas untuk menyelesaikan proses ini.
“Berkaitan isu pemilikan saham pula, perkara ini masih belum selesai walaupun Jemaah Menteri telah mengarahkan tindakan diambil lebih sebulan lalu.
“Walaupun Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menjelaskan bahawa proses rasmi perlu diikuti, ia tidak boleh berlarutan tanpa kesudahan. Ketua SPRM yang baru seharusnya memulakan tugasnya tanpa dakwaan yang masih tergantung,” kata Gobind.
Dia berkata memandangkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Peguam Negara Dusuki Mokhar telah pun membentangkan dapatan kepada Jemaah Menteri, keputusan kini perlu dimuktamadkan segera.

“Akhirnya, akauntabiliti dan ketelusan adalah perkara utama. Langkah awal yang diambil oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru akan menentukan hala tuju kepimpinannya,” tambah Gobind.
Lebih sebulan selepas dapatan jawatankuasa siasatan yang menyiasat isu pemilikan saham Azam dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil terhadap ketua agensi anti-rasuah negara itu.
‘Proses masih berjalan’
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menyerahkan sebarang tindakan kepada Shamsul Azri dan enggan mendedahkan hasil laporan jawatankuasa tersebut.
“Saya tidak boleh menyatakan hasil laporan tersebut memandangkan proses masih berjalan.
“Apa-apa tindakan yang akan diambil akan diputuskan melalui proses yang melibatkan Ketua Setiausaha Negara.
“Bila agaknya kita mungkin akan dapat maklumat, Ketua Setiausaha Negara nanti akan laporkan kepada Jemaah Menteri, tapi bukan pada hari ini,” kata Fahmi dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pada 15 April.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian sebagai menjawab soalan wakil Bloomberg, yang merujuk kepada peraturan dalam pekeliling tatatertib perkhidmatan awam, termasuk larangan penjawat awam membeli saham melebihi RM100,000 dalam satu syarikat.
Dalam satu kenyataan pada 31 Mac, Shamsul berkata prosiding berkaitan siasatan terhadap pegangan saham Azam telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, langkah itu diambil selepas dapatan jawatankuasa siasatan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet pada 11 Mac.

Shamsul turut menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa itu menangguhkan pendedahan dapatan berkaitan pegangan saham Azam.
Pada 1 April, Fahmi berkata Anwar dan Jemaah Menteri komited untuk mendedahkan hasil siasatan berkaitan ketua peseuruhjaya SPRM itu setelah kedua-dua aspek siasatan diselesaikan secara menyeluruh.
Selepas laporan Bloomberg pada Februari, Azam dan SPRM menjadi tumpuan dua siasatan berasingan: satu berkaitan pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu dan satu lagi berhubung dakwaan manipulasi korporat.
SPRM sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pegawainya terlibat dalam kes mafia korporat, dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan sebahagian daripada kempen fitnah untuk menjejaskan reputasi agensi tersebut.
