Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, bangsa, dan agama. Sejak penyatuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak pada 16 Sept 1963, Malaysia telah terbentuk menjadi sebuah masyarakat majmuk yang ampuh dengan kekuatan budaya serta adat resam.

Keunikan ini membolehkan rakyat menikmati keindahan hidup berbilang kaum yang merentasi bangsa meliputi Melayu, Cina, India, dan pribumi Borneo.

Malaysia sejak awal lagi berjaya membentuk perpaduan antara pelbagai bangsa sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh bagi negara multietnik Muslim yang berjaya mengekalkan perpaduan.

Perkembangan komposisi kehidupan masyarakat berbilang kaum membuatkan masyarakat ketika itu cepat menyesuaikan diri untuk hidup dalam perbezaan.

Keadaan ini berasal daripada sifat semasa rakyat yang bijak membina kebersamaan dalam kehidupan dengan cara memanfaatkan kemahiran setiap bangsa untuk kemajuan hidup.

Tambahan pula, sejarah mencatatkan antara faktor kebolehan leluhur dahulu ialah bijak dalam menguruskan kehidupan kaum yang berbeza kerana sejak mula mereka telah berinteraksi berbeza etnik kerana kedudukan geografi Asia Tenggara yang didiami oleh banyak suku berbeza.

Kejayaan Malaysia mempertahankan perpaduan sering dijadikan model rujukan global, khususnya bagi negara Muslim multietnik. Namun, keharmonian ini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia menuntut kebijaksanaan rakyat dalam menerima realiti kemajmukan dan jaminan hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 8 (kesamarataan) dan Perkara 11 (kebebasan beragama).

Malangnya, ketenangan selama ini sekarang diuji oleh serangan berita palsu dan fitnah yang bertujuan menggugat kestabilan negara serta perpaduan rakyat.

Antara dakwaan tidak berasas yang dilemparkan termasuklah tuduhan kononnya kerajaan Madani gagal menangani impak daripada krisis tenaga global serta sengaja membebankan rakyat dengan kos sara hidup.

Malah, spekulasi tidak berasas mengenai ‘penyeludupan;’ 329,000 tong minyak diesel ke luar negara turut disebarkan bagi mencalarkan imej pentadbiran, sedangkan ia melibatkan entiti luar yang tiada kaitan dengan syarikat nasional seperti Petronas.

Statistik yang membimbangkan

Hakikatnya, ekonomi domestik kekal terkawal hasil pengurusan berhemah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Walaupun berdepan ketegangan geopolitik dunia, kerajaan Madani tetap komited melalui inisiatif subsidi bersasar.

Harga minyak RON95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala Budi Diesel individu dan Budi Agri-Komoditi masing-masing ditambah daripada RM300 kepada RM400 seperti yang diumumkan kerajaan.

Dari sudut makro pula, data JP Morgan mengesahkan defisit fiskal negara masih terkawal, manakala laporan Bank Dunia menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat kepada 4.4 peratus.

Laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan sebanyak 386 kandungan berita palsu, dengan 118 kandungan berkaitan isu bahan api, 45 berkaitan tarif elektrik, manakala 147 lagi mengenai dakwaan bayaran tol kepada Iran.

Tidak ketinggalan, ada 15 kandungan fitnah yang mendakwa Malaysia menjual minyak kepada Filipina.

Statistik ini amat membimbangkan kerana fitnah terancang mampu meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi berautoriti. Kita harus mengambil iktibar daripada krisis di luar negara seperti di United Kingdom pada 2024 apabila rusuhan tercetus gara-gara akibat berita palsu sehingga melumpuhkan negara dan institusi pemerintahan.

Justeru, kestabilan politik dan keamanan negara wajib dipelihara dengan hanya merujuk kepada sumber yang sahih dan berautoriti.

Tabayyun dan keruntuhan epistemologi ilmu

Dalam era digital yang menyaksikan arus maklumat tanpa sempadan, Islam telah menggariskan panduan jelas dalam berinteraksi dengan maklumat. Islam membina satu kerangka epistemologi yang utuh untuk menilai dan mengesahkan kebenaran sesuatu berita sebelum diterima.

Asas kerangka ini bersumberkan konsep tabayyun sebagaimana ditegaskan dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 (bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Ayat tersebut membentuk disiplin intelektual yang menuntut ketelitian kritis dalam menyaring maklumat. Hal ini kerana Islam bukan sekadar mempersoalkan kandungan berita, malah menekankan juga metodologi yang digunakan manusia untuk mencapai keyakinan terhadap sesuatu berita.

Persoalan utama bukan lagi sekadar “apa yang benar” tetapi “bagaimana kita mengetahui ia benar”.

Namun, realiti hari ini memperlihatkan krisis yang mendalam. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya Islam and Secularism, krisis utama umat hari ini berakar daripada kekeliruan ilmu akibat kehilangan adab.

Ia ditegaskan beliau sebagai: “The loss of adab results in injustice, which in turn leads to confusion in knowledge. Confusion in knowledge leads to the condition in which false leaders arise and thrive…”

Pandangan ini menjelaskan bahawa penyebaran berita palsu bukan sekadar kecuaian teknikal, tetapi manifestasi krisis epistemologi. Apabila adab terhadap ilmu hilang, manusia juga turut akan gagal meletakkan maklumat pada tempat yang hak, lalu mengangkat kepalsuan sebagai kebenaran yang akhirnya membawa kepada kezaliman sosial.

Selain itu, Islam menilai penyebaran maklumat melalui implikasi akhirat. Dalam kerangka maslahah (kepentingan awam), setiap tindakan diukur melalui manfaat dan mudaratnya.

Ancaman sistemik buat negara

Jika penyebaran maklumat sahih dianggap sebagai amal jariah, maka penyebaran berita palsu merupakan dosa jariah yang membawa kesan berpanjangan.

Rasulullah SAW bersabda (bermaksud):“...dan sesiapa yang menyeru dan menunjuk kepada kesesatan, maka ke atasnya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa berkurang sedikit pun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

Dalam konteks maqasid al-shariah, pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta, dan keturunan sangat bergantung kepada elemen al-amn (keamanan) dan al-salam (kesejahteraan).

Berita palsu merupakan ancaman yang mampu merobohkan struktur masyarakat majmuk di Malaysia dengan menghakis kepercayaan antara kaum dan agama. Ia bukan lagi isu komunikasi individu tetapi ancaman sistemik yang boleh melumpuhkan kestabilan negara.

Sebagai kesimpulan, menyebarkan maklumat sahih adalah tanggungjawab moral dan tuntutan akidah yang tidak boleh dipandang remeh.

Firman Allah SWT dalam Surah Qaf, ayat 18 mengingatkan bahawa setiap perkataan dipantau oleh malaikat. Maka di sini, amanah dalam penjagaan ketepatan maklumat merupakan cerminan iman seseorang.

Paling utama, kebencian terhadap sesuatu pihak tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berlaku adil dengan menyebarkan fitnah atau kepalsuan kerana Islam tidak berdiri atas dasar kezaliman atau penindasan terhadap manusia lain.

Oleh itu masyarakat perlulah membina budaya integriti maklumat demi mempertahankan keharmonian yang berpaksikan kebenaran dan keadilan.


ZULKIFLI HASAN ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS