PKR menegaskan kepentingan aspek “kepercayaan dan kestabilan” selepas Umno Negeri Sembilan menarik sokongan mereka terhadap Aminuddin Harun sebagai menteri besar, sekali gus menyebabkan nasib kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak menentu.
Exco Pemuda PKR, Jalex Lee, mengingatkan bahawa tidak mudah untuk mengembalikan atau memulihkan kepercayaan jika ia sudah dirosakkan.
“Perkembangan ini bukan sekadar perbezaan pendapat biasa, ia merupakan satu tindakan politik yang licik dan khianat sehingga berisiko menghakis kepercayaan rakyat serta sekali lagi melemahkan nilai-nilai demokrasi di Malaysia.
“Perbezaan pandangan tidak dapat dielakkan dalam mana-mana gabungan, namun ia sepatutnya ditangani melalui perbincangan dan penyelesaian dalaman, bukan melalui langkah politik seperti ini,” tambahnya.
Lee berkata, walaupun Adun Umno di Negeri Sembilan ada “justifikasi” tersendiri untuk menarik sokongan mereka daripada Aminuddin, “pergolakan politik dalaman” hanya akan mengalih perhatian serta melemahkan kedudukan negara dalam menghadapi krisis tenaga global.
“Akhirnya, rakyat bukan sekadar pemerhati pasif. Rakyat Malaysia sedang memerhati dengan teliti dan menilai setiap tindakan yang diambil,” katanya lagi.

Sementara itu Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Sim Tze Tzin, menekankan betapa perjanjian di antara parti dalam kerajaan perpaduan tertumpu kepada pembentukan pentadbiran yang stabil untuk tempoh sepenggal.
“Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian ini. Kestabilan dan kebajikan rakyat mesti diutamakan,” katanya yang juga timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam hantaran ringkas di X.
Terdahulu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan Aminuddin memanggil mesyuarat tergempar di kediaman rasminya pada jam 3 petang.
Rujuk pemimpin tertinggi
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Daripada jumlah itu 17 dimenangi oleh PH - termasuk Aminuddin yang mewakili Sikamat - manakala BN 14 kerusi.
Bagi lima lagi kerusi dimenangi oleh PN melibatkan tiga PAS dan dua Bersatu.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan itu memanggil semua 17 Adun daripada gabungan tersebut untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
Laporan itu juga mendakwa DAP Negeri Sembilan - yang memiliki 11 daripada 17 kerusi kerusi DUN PH - dijadualkan mengadakan mesyuarat berasingan di pejabat parti pada jam 2 petang.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata 14 Adun Umno hilang kepercayaa terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis diraja yang menggemparkan negeri itu minggu lalu.
Dia berkata surat rasmi akan dihantar kepada speaker dan setiausaha DUN selepas sidang media tersebut.

Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.
PH ketika ini memegang 17 kerusi — bermakna penarikan sokongan Umno sudah cukup untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada.
Dua senario kini dilihat berkemungkinan berlaku.
Pertama, Umno mungkin mendesak agar PH menyokong salah seorang Adunnya sebagai menteri besar bagi mengekalkan kerjasama peringkat Persekutuan di bawah gagasan Madani.
Sebagai alternatif, Umno boleh bekerjasama dengan PN yang memiliki lima kerusi, sekali gus berpotensi menyebabkan kejatuhan gabungan Madani di negeri tersebut.
Menambah lagi elemen spekulasi ialah hantaran misteri oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mengucapkan tahniah kepada Umno Negeri Sembilan.
“Tahniah Umno Negeri Sembilan kerana memulakan langkah untuk menyatukan ummah,” katanya.
PAS secara konsisten menyeru semua parti politik Melayu-Islam untuk berganding bahu bagi mempertahankan kepentingan bangsa dan agama.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, berkata dia akan merujuk perkara itu kepada kepimpinan tertinggi BN sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan 14 wakil Umno tersebut.
“Saya akan merujuk perkara ini kepada pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita dipetik Bernama.
