Adun Bukit Sentosa, Gunaraj George menggesa Kerajaan Selangor memberikan penjelasan terperinci berhubung angka “688 kuil” di negeri itu yang disifatkannya berpotensi mengelirukan jika tidak diperincikan.
Dia berkata angka yang dilaporkan sebelum ini melalui Exco Pembasmian Kemiskinan dan Sumber Manusia negeri, V Papparaidu perlu diperhalusi kerana berkemungkinan merangkumi pelbagai bentuk tempat ibadat dengan sifat dan skala berbeza.
Menurutnya, berdasarkan semakan di peringkat Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan (NHTSC) serta maklum balas komuniti, angka tersebut mungkin termasuk struktur kecil dalam satu kawasan yang dikira sebagai entiti berasingan, pondok penyembahan atau shrine kecil, serta tempat sembahyang di dalam rumah persendirian.
“Adalah tidak wajar untuk menyamakan semua kategori ini sebagai ‘kuil’ dalam erti kata sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Gunaraj mencadangkan supaya satu pendekatan lebih tepat digunakan dengan mengkategorikan tempat ibadat berdasarkan definisi jelas sama ada kuil berstruktur, shrine kecil atau tempat sembahyang persendirian sebelum angka diumumkan kepada umum.
Dia juga menegaskan bahawa pengurusan tempat ibadat harus ditangani secara tersusun, inklusif dan berhemah, dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat serta keperluan sebenar penganut.
“Justeru, satu semakan menyeluruh perlu dilakukan supaya data yang dikemukakan adalah tepat, telus dan tidak mengelirukan,” katanya.
Kerajaan Selangor sebelum ini dilaporkan telah mengenalpasti sebanyak 688 kuil Hindu yang beroperasi tanpa kebenaran setakat 16 April lalu.

Papparaidu berkata jumlah berkenaan membabitkan kuil yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan tanah persendirian.
Katanya, kuil yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran berjumlah 433 dengan daerah Petaling tertinggi sebanyak 96 kuil, dikuti Kuala Selangor (81), Gombak (57), Hulu Langat (55), Klang (45), Kuala Langat (36), Sepang (34) dan Hulu Selangor (29).
"Sebanyak 255 kuil dibina di atas tanah milik tanpa kebenaran membabitkan daerah 126 kuil di Kuala Selangor, diikuti Kuala Langat (38), Sepang (28), Hulu Selangor (22) Klang (20), Hulu Langat (12)., Petaling (8), Sabak Bernam (2) dan Gombak (1).
"Berdasarkan inventori di sembilan Pejabat Daerah Tanah sehingga 16 April lalu terdapat 285 kuil yang dibina secara sah dan 688 kuil dibina tanpa kebenaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak 973," katanya ketika menjawab soalan S Preakas (PH-Kota Kemuning) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam.
Bagaimanapun, beberapa pihak mempersoalkan angka tersebut kerana dipercayai merangkumi pelbagai jenis struktur keagamaan termasuk shrine kecil dan tempat sembahyang tidak formal yang tidak semestinya memenuhi definisi kuil sepenuhnya.
Isu itu turut mencetuskan perbahasan mengenai keperluan standardisasi definisi serta ketelusan data dalam penggubalan dasar berkaitan rumah ibadat.
Tambah Gunaraj, dia menegaskan ketepatan fakta amat penting dalam memastikan dasar yang dirangka adalah berasaskan maklumat yang jelas dan tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
