Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Geramm.
Polis menyerbu rumah wartawan kanan Malaysiakini B Nantha Kumar berkaitan siasatan terhadap laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing.
Nantha berkata dua pegawai polis berpakaian biasa tiba pada jam 2.30 petang dan menggeledah kediaman di Seri Serdang selama kira-kira 45 minit.
“Bagaimanapun, tiada barang dirampas semasa serbuan ini,” katanya.
Terdahulu, Nantha dikemukakan dengan waran geledah yang menyatakan bahawa polis mempunyai alasan untuk mengesyaki bahawa premis itu digunakan bagi tujuan penyimpanan dokumen berkaitan.
Menurut waran, dipercayai wujud salinan - secara fizikal dan material - bernama “Dokumen rasmi Jemaah Menteri (MJM) - Cadangan Pelaksanaan Sistem Digital The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap) dalam Proses Perekrutan Pekerja Asing di Malaysia”.
Pada 1 April, ibu pejabat polis daerah Sepang berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat tanpa kebenaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan rangkaian sosial.
Polis turut merakam kenyataan daripada Nantha sebagai saksi.
Difahamkan bahawa Kementerian Sumber Manusia membuat laporan terhadap laporan itu, walaupun telah berulang kali ditawarkan untuk memberi komen oleh Malaysiakini.

Minggu lalu, polis turut merakam kenyataan daripada pengasas dan pengarah Malaysiakini Premesh Chandran berhubung perkara itu.
Mengulas mengenai serbuan itu, editor eksekutif Malaysiakini RK Anand menyifatkan apa yang berlaku sebagai gangguan terhadap wartawan yang menjalankan tugas profesionalnya untuk melaporkan berita demi berkepentingan awam.
“Malangnya, taktik lama yang sama untuk membungkam dan menakut-nakutkan wartawan masih berterusan,” tambahnya.
Kesal Kesuma tak jawab, tapi lapor polis
Sementara itu, kumpulan prokebebasan media Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyatakan kesalnya terhadap laporan polis oleh Kesuma.
“Namun, perlu diketahui bahawa keengganan untuk menggunakan hak jawab bukanlah ‘tiket’ untuk menghalang wartawan atau media dari menerbitkan sesebuah laporan, terutama melibatkan kewartawanan investigasi yang melibatkan pelbagai sumber.
“Adalah amat dikesali apabila pihak berkaitan enggan memberikan kerjasama, terutama dalam isu melibatkan kepentingan awam, dan sebaliknya cuba menghentikan pelaporan berita dengan membuat laporan polis,” katanya.
Geramm berkata demikian ketika mengulas tindakan Kesuma membuat laporan polis walaupun berulang kali ditawarkan untuk memberikan komen.
