Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar bahasa: Ungkapan 'keno bbodo' ada unsur hina, perli polis

Seorang pakar bahasa menegaskan penjelasan dibuat seorang wakil rakyat berhubung maksud perkataan atau istilah keno bbodo dalam loghat Kelantan yang ditujukan kepada polis pada Sabtu lalu sebagai tidak tepat.

Malah Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (Kita) di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Emeritus Teo Kok Seong juga bersetuju bahawa ucapan dibuat itu untuk berunsur penghinaan kepada pihak berkuasa.

"Kalau ungakapan keno bbodo itu dalam bahasa Melayu standard bermaksud diperbodohkan.

"Saya faham dia kata walaupun polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) mengadakan tujuh sekatan mereka masih berjaya melepasi semua sekatan itu, jadi (maksudnya) polis dan JPJ diperbodohkan oleh mereka.

Gambar hiasan, sekatan polis.

"Kalau mereka maksudkan ungkapan itu dengan helah, licik, muslihat itu tak berapa tepat, dari segi tatabahasa tak tepat," katanya pakar dalam bidang etnolinguistik dan antropologi linguistik ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Etnolinguistik ialah cabang linguistik antropologi yang mengkaji hubungan antara bahasa dan kebudayaan sesuatu masyarakat, serta cara bahasa mencerminkan pandangan dunia penuturnya.

Antropologi linguistik pula ialah cabang antropologi yang mengkaji hubungan antara bahasa, budaya, dan kehidupan sosial.

Sementara itu Pakar Bahasa Melayu Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Tarmizi Hasrah berpendapat dalam aspek linguistik, dialek Kelantan mengandungi proses penyingkapan morfologi.

Berdasarkan istilah diungkapkan Wan Rohimi katanya, ia boleh ditafsir membawa maksud ‘diperbodohkan’.

Namun katanya, dari segi makna berdasarkan konteks boleh ditafsir pihak penutur menyifatkan pihaknya lebih cerdik.

“Berdasarkan video kenyataan itu kita boleh tafsir ‘puak kita cerdik sebab boleh elak roadblock’.

“Bila ‘puak kita cerdik’, maksudnya polis pula tak cerdik,” jelasnya yang juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Falsafah dan Tamadun UUM, ketika dihubungi.

Perlekeh tugas pasukan keselamatan

Semalam Malaysiakini melaporkan polis Kelantan membuka kertas siasatan terhadap satu video tular yang didakwa memperlekeh tugas anggota keselamatan yang membuat sekatan jalan raya selepas beberapa wakil rakyat PAS mahu berkonvoi dengan motosikal ke beberapa lokasi, termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu.

Salah seorang ahli politik yang terlibat ialah Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud, yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat serta PAS Kelantan.

Dalam ucapannya di penghujung program itu, dia tampil berkongsi pengalaman melalui 'lorong tikus' (jalan kecil yang tersembunyi) bagi mengelak sekatan berkenaan.

"Kita dilewatkan oleh roadblock polis. Bile blaka, ambo bile tak kurang dari tujuh (saya kira tak kurang daripada tujuh sekatan).

"Tapi semua kena bbodo kita belaka (Tapi kita berjaya memperdaya mereka semua)," katanya merujuk kepada sekatan jalan raya yang dibuat polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagaimanapun selepas dikritik gara-gara ucapannya itu, Wan Rohimi tampil menjelaskan keno bbodo yang disebutnya itu tidak sama maksudnya dengan kecaman atau makian "bodoh".

Sebaliknya, kata peguam terbabit, ia membawa maksud helah, licik dan muslihat.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan susulan rakaman video yang dimuat naik di media sosial seorang pegawai kanan pasukan keselamatan terbabit membuat laporan kira-kira jam 10 pagi semalam.

Kata Mohd Yusoff, video tersebut memaparkan seorang lelaki yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.

"Siasatan awal mendapati individu berkenaan turut mendakwa bahawa beliau telah berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.

"Kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia," katanya.

Beri keterangan kepada polis

Walaupun polis tidak menyebut nama namun pautan video dalam kenyataan pasukan itu merujuk rakaman Wan Rohimi yang berkongsi pengalaman mengelak sekatan jalan raya.

Sehubungan itu, Mohd Yusoff berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Mengulas lanjut, Teo berkata, biasanya dalam dialek Kelantan, penggunaan imbuhan dalam bahasa Melayu standard digugurkan manakala sebutan suku kata pertama akan dipanjangkan.

Mohd Yusoff Mamat

"Misalnya perkataan 'memperbodohkan' apabila diungkap dalam dialek Kelantan disebut 'keno bbodo'.

"Maknanya kalau kita kata 'bodo' (dalam dialek Kelantan) bermaksud bodoh untuk memperihalkan sesorang itu tak pandai, tetapi keno bbodo membawa maksud memperbodohkan.

"Contoh lain perkataan 'bini' bermaksud isteri, tapi kalau bbini bermaksud beristeri. Contoh ayat: ini bini saya, atau kamu sudah bbini?" jelasnya.

Secara jelas Teo bersetuju apa yang diungkapkan oleh Wan Rohimi berunsur penghinaan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas.

"Ya betul, ada unsur memperkecilkan kekuasan polis, jadi satu penghinaan kepada pihak berkuasa yang bersusah payah buat sekatan, akhir sekali konvoi itu dapat mereka lepasi semua, jadi mereka nak hina polis, perli polis," tambahnya yang juga anak kelahiran Kelantan.

Dalam perkembangan sama, Wan Rohimi mengesahkan dia dipanggil pihak polis untuk direkod keterangan berhubung kes berkenaan, semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS