Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH tanya PAS Kelantan: Siapa sebenarnya perbesarkan isu?
1

Selepas menjadi tumpuan susulan ‘diserang’ Adun PAS Kelantan kerana menyentuh isu aktiviti mat motor atau gejala rempit di Lapangan Terbang Sultan Ismal Petra (LTSIP), Dr Hafidzah Mustakim meminta rakyat negeri Kelantan membuat penilaian sewajarnya.

Didakwa sebagai cuba memperbesarkan isu tersebut, Adun Kota Lama itu menegaskan betapa rakyat boleh menilai siapa sebenarnya memperbesarkan isu berkenaan.

“Saya tak boleh bayangkan penggubal undang-undang di dewan pembuat keputusan tertinggi sebuah negeri (DUN) mengambil jalan berkonfrontasi dengan penjawat awam seperti pihak polis yang menjalankan tugas melaksanakan undang-undang yang digubal.

“Siapa yang sebenarnya membesar besarkan isu? Perbahasan di sidang DUN yang sepatutnya disambut dengan sikap terbuka kerana ada semak imbang yang membina, dibawa keluar dengan reaksi yang berlebihan demi menunjukkan sekelumit kuasa yang dimiliki.

“Akhirnya, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai — antara teguran yang berasaskan realiti untuk kebaikan rakyat dan reaksi yang berlebihan daripada Adun-Adun kerajaan Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam sidang DUN Kelantan minggu lalu, Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud, mencuri tumpuan selepas bangun mencelah perbahasan Hafidzah yang menyentuh isu anak muda melepak di kawasan lapangan terbang berkenaan.

Hafidzah berkata aktiviti melepak atau 'merempit' di LTSIP yang menjadi tular baru-baru ini mencemar nama baik Kelantan dan menjadi buah mulut yang mendukacitakan.

Bagaimanapun Wan Rohimi yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Pembangunan Insan, Integriti dan Undang-undang itu mempertahankan aktiviti tersebut kerana beranggapan ia tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang.

Bukan untuk cari salah

Wan Rohimi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Malaysia berkata, perkara itu sepatutnya disokong kerana suatu aktiviti yang baik, justeru tidak perlu diperbesar-besarkan.

Selepas dikritik secara meluas susulan tindakannya mempertahankan aktiviti itu, dia tampil ‘garang’ dengan menganjurkan satu acara konvoi bermotosikal ke lokasi tersebut.

Program tersebut berjaya dijalankan Sabtu lalu, namun Wan Rohimi terpalit dengan kontroversi baru susulan ucapannya didakwa memperlekeh pihak berkuasa yang menjalankan tugas.

Semalam dia dipanggil memberi keterangan selepas pihak polis membuka kertas siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Dalam ucapannya di penghujung program itu, Wan Rohimi yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkongsi pengalaman melalui 'lorong tikus' (jalan kecil yang tersembunyi) bagi mengelak sekatan dibuat polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Kita dilewatkan oleh roadblock polis. Bile blaka, ambo bile tak kurang dari tujuh (saya kira tak kurang daripada tujuh sekatan).

"Tapi semua keno bbodo kita belaka (Tapi kita berjaya memperdaya mereka semua)," katanya.

Hafidzah berkata reaksi sesetengah Adun kerajaan Kelantan terhadap pandangannya dalam isu tersebut agak keterlaluan dan defensif.

"Seolah-olah teguran yang dibuat ini satu serangan, sedangkan ia adalah sebahagian daripada peranan semak imbang yang sah dalam DUN kita.

"Saya bangkitkan isu ini bukan untuk membesar-besarkan atau mencari salah tetapi untuk kita sama-sama fikirkan apakah langkah pembangunan anak muda demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS