Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kos RM150 juta untuk mengadakan dua pilihan raya negeri secara berasingan bakal membawa implikasi ekonomi yang lebih besar, terutama ketika berlaku krisis tenaga akibat konflik Timur Tengah.

Dalam keadaan ada pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan penangguhan pilihan raya negeri Johor dan Melaka, pakar ekonomi menegaskan bahawa kos pilihan raya perlu dinilai dalam konteks bekalan bahan api yang terhad.

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berkata kos sebanyak RM150 juta bukan kecil dan ia boleh digunakan untuk keperluan ekonomi yang lebih mendesak seperti menstabilkan pengagihan bahan api dan logistik.

“Sebagai contoh, RM150 juta boleh digunakan untuk menyokong pengendali pengangkutan, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan peningkatan kos penghantaran, atau memastikan kesinambungan pengedaran barangan keperluan.

“Jika disalurkan dengan berkesan, jumlah yang sama boleh membiayai bantuan sementara berkaitan bahan api kepada ratusan ribu isi rumah yang terjejas - sekali gus mengurangkan kesan limpahan kenaikan harga global terhadap kos sara hidup domestik.

“Persoalannya bukan sama ada kita mampu mengadakan pilihan raya, tetapi sama ada kita mampu menanggung kos berganda,”tambahnya.

Dia mengingatkan bahawa perbelanjaan yang tidak perlu boleh memberi isyarat bercampur-campur ketika kerajaan cuba mengurangkan defisit.

Menurutnya, langkah mengadakan pilihan raya serentak boleh menjimatkan kos.

“Semua ini tidak menafikan kepentingan pilihan raya kerana ia kekal sebagai fungsi teras demokrasi dan kos yang perlu dalam tadbir urus.

“Namun, isu di sini bukanlah pilihan raya itu sendiri, tetapi sama ada ia dijalankan dengan cara yang paling efisien,” tegasnya.

Dia berkata dalam keadaan sekarang, perbelanjaan seperti pilihan raya berasingan perlu ada justifikasi kukuh.

Kerajaan menjangka subsidi bahan api bulan ini boleh meningkat kepada RM7 bilion, berbanding RM700 juta sebelum ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan harga dan memahami krisis ini dengan serius.

Psda 22 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN dan Umno tidak menyokong cadangan menangguhkan pilihan raya Melaka dan Johor.

Kenyataan itu dibuat selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan mencadangkan supaya pilihan raya tersebut tidak diadakan dalam masa terdekat.

Namun, Ahmad Maslan kemudian menjelaskan perkara itu hanyamerupakan pandangan peribadi.

Pada 21 April, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata cadangan penangguhan perlu dinilai secara realistik, terutama jika melibatkan faktor geopolitik.

Ketika bercakap sebagai menjadi tetamu dalam program Bernama Radio, Fuziah menjelaskan bahawa walaupun perkembangan geopolitik mengambil masa untuk diselesaikan, pilihan raya tidak boleh ditangguhkan.

Pada hari yang sama, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata tiada asas kukuh untuk menangguhkan pilihan raya negeri itu.

DUN Melaka akan terbubar pada Disember tahun ini, manakala pilihan raya negeri Johor dijangka diadakan April tahun depan.

Bloomberg melaporkan Anwar sedang mempertimbangkan pilihan raya umum pada suku ketiga tahun ini.

Sumber berkata pilihan raya sebelum Oktober mungkin diadakan ketika kerajaan bersedia melaksanakan subsidi lebih bersasar.

Pengarah eksekutif Bersih, Asraf Sharafi menjelaskan dana pilihan raya tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

Namun Naib Presiden Muda, Dobby Chew mencadangkan SPR mengambil langkah sewajarnya, termasuk mempertimbangkan pelaksanaan undi pos dan prosedur lain yang boleh membantu mengurangkan kos operasi pilihan raya negeri.

Dia juga menyarankan parti politik, terutama parti kerajaan mengurangkan pembaziran seperti membawa ramai VIP turut berkempen.

“Kempen politik perlu mencerminkan langkah berjimat cermat yang perlu kita laksanakan bersama.

“Kita tidak boleh meletakkan harga pada usaha mengekalkan demokrasi, tetapi itu bukan bermakna kita diberi cek kosong untuk berbelanja tanpa kawalan bagi pilihan raya,” katanya.

Dia menambah bahawa SPR dan parti politik yang bertanding perlu memahami kepentingan dana tersebut sambil melaksanakan reformasi penting yang boleh membantu menyerap dan mengurangkan kos.

Pada Sept tahun lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke secara terbuka mencadangkan supaya pilihan raya di peringkat pusat dan negeri diadakan serentak, khususnya di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan penyelarasan lebih baik dalam persiapan parti serta mengurangkan kos.

Sehingga Feb tahun ini, menteri pengangkutan itu kekal dengan pendirian tersebut dan memberitahu Malaysiakini bahawa jadual pilihan raya yang terlalu padat boleh mengganggu pentadbiran negara dan menjejaskan keupayaan kerajaan melaksanakan dasar dengan berkesan.

Jika pilihan raya persekutuan dan negeri tidak diadakan serentak, sekurang-kurangnya akan ada lima siri pilihan raya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, termasuk di Melaka, Johor, Sarawak, pilihan raya umum, dan enam pilihan raya negeri.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, sebelum ini berkata dari sudut pengurusan pilihan raya, mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum secara serentak adalah kaedah terbaik untuk menjimatkan perbelanjaan, tenaga kerja dan sumber.

Dia turut menyatakan bahawa tiada halangan undang-undang untuk mengadakan pilihan raya Melaka dan Johor serentak dengan pilihan raya umum, serta berkata gabungan pilihan raya itu boleh menjimatkan kira-kira RM200 juta dalam anggaran kos kasar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS