Nampak macam ada beza situasi di antara Negeri Sembilan dan Negeri Melaka. Sebenarnya tidak!
Namun ada hikmah apabila terjadi krisis empat undang memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, maka terbongkar banyak perkara baru yang mencetuskan perhatian.
Baru kita tahu kepentingan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. Kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan ruling chiefs (undang yang berempat iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau serta Tengku Besar Tampin) terjamin. Wujud Dewan Keadilan dan Undang yang tiada dalam perlembagaan di negeri lain.
Sedihnya apabila diselidik di sempadan Negeri Sembilan yang mengamal adat perpatih iaitu Negeri Melaka, Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (pindaan) 1994 yang berkuat kuasa pada 22 Julai 1994 menghapuskan adat perpatih Naning dan fungsi penghulu Naning melalui potongan Perkara 34 dan Jadual Kedua.
Maka kisah Naning dibenam walau asalnya dijamin dalam Perlembagaan Negeri Melaka. Ramai lagi mantan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka penggal 1990-95 yang masih hidup terutama Abdul Rahim Thamby Chik, Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka dan Yasin Mohd Sarif.
Saya mencari maklumat hansard Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum diluluskan pindaan pada 22 Julai 1994 melalui Google tetapi gagal. Di Melaka memang wujud cawangan Arkib Negara Malaysia. Mungkin ada rekod hansard DUN Melaka. Negeri Sembilan pula tiada cawangan Arkib Negara.
Kita perlu menyemak rekod hansard DUN Negeri Sembilan 1959 berkaitan UUTKNS 1959. Takkan tiada perbahasan?
Sebab itu sejak 8 Mac 2025 saya perjuangkan kewujudan arkib diraja melalui tulisan di Malaysiakini bertajuk: Pinda Akta Arkib Negara, tubuhkan arkib diraja.
Arkib negeri berperanan sebagai wadah ingatan institusi yang menyimpan jejak keputusan, dasar dan tindakan pentadbiran secara tersusun, selaras dengan punca kuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 48 Akta Arkib Negara 2003.
Melalui peruntukan ini, penubuhan arkib negeri bukan sekadar pilihan pentadbiran, tetapi satu mekanisme berautoriti yang diiktiraf oleh undang-undang, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong serta pemakaian kerangka Arkib Negara secara mutatis mutandis (perubahan sewajarnya).
Arkib negeri sebagai sumber pembuktian
Dalam konteks ini, arkib berfungsi sebagai kesinambungan struktur kuasa — menghubungkan peringkat Persekutuan dan negeri — yang memastikan setiap rekod disimpan dalam satu sistem yang seragam dan boleh dipercayai.
Di samping itu, kekuatan arkib negeri sebagai sumber pembuktian turut berpunca daripada legitimasi undang-undang yang mendasarinya. Apabila rekod disimpan mengikut peruntukan akta yang jelas, ia bukan sahaja menjadi rujukan pentadbiran, tetapi juga bukti yang mempunyai kekuatan dari segi perundangan.
Dalam keadaan ini, pihak yang berhak dapat menuntut haknya dengan lebih tersusun dan berasas, kerana setiap dokumen yang dikemukakan bukan sekadar rekod biasa, tetapi merupakan dokumen yang diiktiraf dalam kerangka undang-undang negara.
Justeru, arkib berperanan meredakan potensi konflik dengan menyediakan asas pembuktian yang sah, sekali gus mengurangkan ruang pertikaian yang berpanjangan.
Akhirnya, hubungan antara peranan arkib negeri dan punca kuasa akta memperlihatkan bahawa kestabilan pemerintahan bukan hanya bergantung kepada struktur pentadbiran semata-mata, tetapi juga kepada keupayaan sistem tersebut menyimpan dan mengesahkan maklumat secara sah.
Dengan adanya peruntukan undang-undang yang jelas, arkib menjadi institusi yang bukan sahaja menyokong pentadbiran, tetapi turut memelihara keadilan secara tersirat.
Dalam kerangka ini, arkib negeri berfungsi sebagai asas senyap yang mengukuhkan legitimasi pemerintahan, memastikan setiap tindakan mempunyai sandaran rekod yang sah, dan memberi ruang kepada pihak yang berhak untuk memperoleh haknya melalui rujukan yang diiktiraf serta diyakini.
Pemimpin politik Negeri Melaka perlu berjiwa besar untuk kembalikan adat perpatih Naning dengan meminda semula Perkara 34 dan Jadual Kedua dalam Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (pindaan) 1994.
Sejarah keperwiraan penghulu Naning memang luar biasa termasuk Dol Said yang kalahkan Inggeris dalam Perang Naning 1 pada 1831 dan Usman Kering yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua 1942 di Singapura.
Akibat tiada undang yang jelas, maka perebutan menjadi penghulu Naning terus menjadi 'gelak ketawa' masyarakat luar Naning.
MOHD AZLAN MOHD SHARIF merupakan aktivis masyarakat dan pengkaji sejarah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
