Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis NS: Umno kongsi soalan lazim, jelaskan langkah tarik balik sokongan MB
Diterbitkan:  Apr 29, 2026 9:25 AM
Dikemaskini: 6:34 AM

Umno Negeri Sembilan menerbitkan penjelasan tujuh halaman di laman Facebooknya tentang pergolakan politik yang sedang berlaku di negeri itu.

Pergolakan politik di negeri Darul Khusus itu memuncak selepas kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menarik balik sokongan mereka kepada Menteri Besar Aminuddin Harun, dengan alasan kehilangan keyakinan terhadap kepimpinannya di tengah-tengah pertikaian yang berterusan yang berkaitan dengan institusi adat diraja negeri.

Langkah itu disokong oleh lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri dengan BN. Jumlah mereka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah 19 kerusi. Dewan Undangan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Malaysiakini menerbitkan penjelasan yang dikongsi Umno di bawah.


Umno/BN Negeri Sembilan mengambil pendirian ini dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan kerana mahu menimbulkan ketegangan politik, bukan kerana mahu mencampuri urusan adat, dan bukan kerana mengejar kuasa.

Pendirian ini dibuat selepas krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan gagal diurus dengan tertib sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, pentadbiran kerajaan negeri dan keharmonian rakyat.

UMNO/BN Negeri Sembilan tetap menjunjung Institusi Diraja, menghormati Institusi Adat, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dan mahukan kerajaan negeri yang stabil demi rakyat.

1. Apakah isu sebenar yang berlaku?

Isu sebenar bukan perebutan jawatan Menteri Besar.

Isu sebenar ialah krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan telah berkembang menjadi krisis keyakinan terhadap cara Menteri Besar mengurus perkara tersebut.

UMNO/BN Negeri Sembilan berpendirian bahawa isu adat sepatutnya diurus dengan penuh tertib, bijaksana dan berhati-hati. Namun apabila kenyataan Menteri Besar dalam isu ini dipertikai oleh pihak adat yang terlibat, dan apabila Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dalam sebarang perbincangan kerajaan negeri sebelum isu menjadi kritikal, maka keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah terjejas.

Lebih mengecewakan apabila pihak adat turut tidak hadir ke pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri yang memberi gambaran bahawa situasi telah menjadi amat kritikal.

2. Adakah UMNO/BN mencampuri urusan adat?

Tidak.

UMNO/BN Negeri Sembilan tidak menentukan siapa betul atau salah dalam pertikaian adat. UMNO/BN juga tidak mengambil peranan untuk menggantikan Institusi Adat atau membuat keputusan bagi pihak adat.

Pendirian UMNO/BN adalah jelas: urusan adat hendaklah diselesaikan oleh institusi adat mengikut tertib adat, perlembagaan dan undang-undang negeri.

Yang dipersoalkan oleh UMNO/BN ialah tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri, khususnya apabila Menteri Besar dilihat membuat kenyataan muktamad dalam perkara adat yang masih dipertikai oleh pihak adat sendiri.

3. Mengapa kenyataan Menteri Besar dipersoalkan?

Kenyataan Menteri Besar dipersoalkan kerana beliau menyatakan bahawa Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang, atau DKU, pada 17 April 2026 telah bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan berkaitan pemberhentian Dato' Mubarak bin Dohak sebagai penyandang pesaka Dato' Klana Petra Luak Sungei Ujong. Kenyataan rasmi MB juga menyebut pemberhentian itu dibuat sejak 13 Mei 2025 dan dikaitkan dengan 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat.

Namun, kenyataan tersebut kemudian dipertikai oleh pihak adat yang terlibat. Media melaporkan bahawa empat Undang mempertikaikan dakwaan MB bahawa DKU telah menasihati agar Mubarak Dohak diberhentikan. Laporan itu turut menyebut bahawa mereka mendakwa ahli DKU yang hadir tidak membuat keputusan kolektif dan sebulat suara dalam sidang khas tersebut.

Sebab itu UMNO/BN berpandangan bahawa isu ini memerlukan penjelasan rasmi yang lebih lengkap, termasuk asas keputusan, minit mesyuarat, senarai kehadiran dan bentuk keputusan yang sebenar.

4. Apa itu DKU?

DKU ialah Dewan Keadilan dan Undang.

Berdasarkan laporan Bernama yang memetik kenyataan Menteri Besar, fungsi DKU Negeri Sembilan ialah sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu, termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Atas sebab itu, persoalan yang timbul ialah: jika DKU berperanan sebagai badan penasihat, apakah asas kerajaan negeri untuk mengeluarkan kenyataan yang kelihatan muktamad tentang status seseorang Undang dalam isu adat yang masih dipertikai?

5. Apakah perkara yang memerlukan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar?

UMNO/BN Negeri Sembilan berpandangan terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan secara rasmi:

Pertama, adakah Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 benar-benar mencapai keputusan kolektif dan sebulat suara?

Kedua, jika keputusan itu wujud, di manakah minit mesyuarat, senarai kehadiran dan rekod sokongan rasmi?

Ketiga, jika DKU hanya badan penasihat dalam hal adat, atas kapasiti apakah kerajaan negeri membuat kenyataan yang dilihat sebagai keputusan muktamad?

Keempat, mengapa Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri sebelum isu menjadi kritikal?

Kelima, bagaimana kerajaan negeri mahu memulihkan keyakinan rakyat apabila kenyataan Menteri Besar sendiri dipertikai oleh pihak adat yang terlibat?

Persoalan ini bukan tuduhan muktamad. la adalah persoalan pentadbiran, ketelusan dan tertib perlembagaan yang wajar dijawab.

6. Adakah UMNO/BN menyebelahi mana-mana pihak adat?

Tidak.

UMNO/BN tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian adat. UMNO/BN menghormati Institusi Adat Negeri Sembilan dan tidak mahu urusan adat dijadikan medan pertelingkahan politik terbuka.

Namun, UMNO/BN tidak boleh berdiam diri apabila tindakan atau kenyataan kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat sehingga mencetuskan pertikaian, kekeliruan awam dan krisis keyakinan terhadap pentadbiran negeri.

Pendirian UMNO/BN jelas:

Konflik adat biar institusi adat selesaikan. Tetapi kegagalan eksekutif kerajaan negeri mengurus krisis ini tetap perlu dijawab.

7. Mengapa Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan menjadi isu besar?

Ini isu besar kerana krisis ini melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat.

Dalam kenyataan rasmi BN Negeri Sembilan, dinyatakan bahawa Exco daripada UMNO/BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum.

Bagi UMNO/BN, perkara sebesar ini tidak wajar diurus secara terpisah daripada rakan pentadbiran kerajaan negeri. la menunjukkan kegagalan komunikasi, kegagalan penyelarasan dan kegagalan pengurusan krisis di peringkat kepimpinan negeri.

8. Mengapa UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar?

UMNO/BN menarik sokongan kerana keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang. Kenyataan rasmi ADUN BN Negeri Sembilan menegaskan bahawa kesemua 14 ADUN UMNO/BN sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau. Pendirian itu dikaitkan dengan krisis Institusi Adat dan Perlembagaan, kegagalan dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri, serta kebimbangan terhadap kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat.

Dalam prinsip pentadbiran kerajaan, setiap keputusan besar kerajaan negeri membawa unsur tanggungjawab bersama. Namun dalam isu ini, Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dan tidak dilibatkan secara sewajarnya dalam perbincangan sebelum krisis menjadi kritikal. Oleh itu, UMNO/BN tidak boleh terus dilihat sebagai sebahagian daripada keputusan atau tindakan yang dilihat mencampuri ruang adat.

UMNO/BN menghormati Institusi Adat Negeri Sembilan. Justeru, apabila tindakan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat dan mencetuskan krisis keyakinan, UMNO/BN wajib mengambil pendirian yang jelas: kami tidak mahu memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak kami dimaklumkan, tidak kami persetujui, dan tidak selari dengan prinsip UMNO/BN untuk menjunjung adat, perlembagaan dan tertib institusi.

9. Adakah tindakan ini bermaksud UMNO/BN mahu "tebuk atap"?

Tidak.

Istilah "tebuk atap" tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO/BN Negeri Sembilan.

UMNO/BN tidak bertindak secara sembunyi-sembunyi. UMNO/BN membuat pendirian terbuka, rasmi dan bertanggungjawab bahawa keyakinan terhadap Menteri Besar telah hilang. Apa-apa langkah selepas itu mesti dibuat mengikut lunas Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan proses yang sah.

Jika UMNO/BN hanya mahu kuasa, isu ini tidak perlu menunggu sehingga berlaku krisis institusi dan pentadbiran. Selepas PRN 2023, UMNO/BN memilih untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan demi kestabilan, walaupun BN mempunyai 14 kerusi dan menjadi komponen penting dalam pembentukan kerajaan negeri. Komposisi DUN Negeri Sembilan selepas PRN 2023 ialah PH 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PN 5 kerusi.

10. Adakah UMNO/BN melawan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?

Sama sekali tidak. UMNO/BN Negeri Sembilan menjunjung kasih dan menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Institusi Diraja dan Institusi Adat. Pendirian UMNO/BN bukan terhadap Tuanku. Pendirian UMNO/BN adalah terhadap cara Menteri Besar mengurus krisis yang melibatkan adat dan perlembagaan negeri.

UMNO/BN juga mengambil maklum laporan bahawa Menteri Besar menyatakan beliau dititahkan untuk meneruskan tugas mentadbir kerajaan negeri seperti biasa sementara isu diselesaikan mengikut undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Namun, bagi UMNO/BN, perkara itu tidak menutup persoalan asas: adakah Menteri Besar telah mengurus krisis ini dengan tertib, telus dan melibatkan rakan pentadbiran negeri secara sewajarnya?

11. Adakah UMNO/BN menolak kestabilan kerajaan negeri?

Tidak. UMNO/BN justeru mengambil pendirian ini kerana mahu kestabilan kerajaan negeri dikembalikan.

Kestabilan bukan sekadar kerajaan terus berjalan. Kestabilan juga memerlukan keyakinan, ketelusan, kebijaksanaan kepimpinan, penghormatan kepada institusi, dan pentadbiran yang tidak mencetuskan kekeliruan rakyat.

Kenyataan rasmi ADUN BN Negeri Sembilan menegaskan bahawa UMNO/BN mahukan kerajaan yang stabil supaya pentadbiran negeri dapat memainkan peranan sebaik mungkin dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat serta ekonomi negeri.

12. Adakah UMNO/BN akan membentuk kerajaan baharu dengan PN?

Fokus UMNO/BN Negeri Sembilan ketika ini bukan soal jawatan atau pembentukan kerajaan baharu.

Fokus utama ialah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar dan keperluan mengembalikan kestabilan negeri mengikut proses perlembagaan. Apa-apa langkah selepas ini hendaklah diputuskan secara tertib, sah

dan bertanggungjawab, serta melalui pertimbangan pimpinan parti dan proses perlembagaan yang berkuat kuasa.

13. Adakah UMNO/BN bersedia melalui proses Dewan Undangan Negeri?

Ya. UMNO/BN menghormati proses perlembagaan dan proses Dewan Undangan Negeri. Kenyataan rasmi ADUN BN Negeri Sembilan menyebut bahawa pemakiuman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas sidang media. Menteri Besar sendiri dilaporkan menyatakan tiada masalah untuk ahli Dewan mengusulkan undi tidak percaya dalam persidangan akan datang.

Bagi UMNO/BN, jika keyakinan terhadap Menteri Besar dipersoalkan, maka jalan terbaik ialah membenarkan proses perlembagaan berjalan secara jelas, terbuka dan tertib.

14. Apakah pendirian UMNO/BN terhadap rakyat Negeri Sembilan?

UMNO/BN memahami bahawa rakyat mahu suasana yang tenang. Rakyat tidak mahu krisis berpanjangan. Rakyat mahu pentadbiran berjalan, ekonomi negeri dijaga, dan keharmonian masyarakat dipelihara.

Sebab itu UMNO/BN tidak mahu krisis ini dipanjangkan dengan kenyataan bercampur, pertikaian terbuka yang tidak selesai, atau tindakan eksekutif yang dilihat melangkaui ruang adat.

Pendirian UMNO/BN dibuat supaya kerajaan negeri kembali kepada asas yang betul:

  • hormat adat;

  • hormat perlembagaan;

  • hormat institusi;

  • telus dalam pengurusan krisis; dan

  • fokus semula kepada rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS