Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Terengganu tumpas sindiket pemalsuan Mykad

Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan MyKad yang didalangi dua lelaki tempatan di Besut pada Khamis lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Raja pada 10.05 malam.

Beliau berkata polis merampas dua unit komputer riba, dua unit pencetak, 110 keping kad kosong, telefon bimbit, pemacu pen, wifi mudah alih dan mesin laminasi yang dipercayai digunakan untuk kerja pemalsuan MyKad, dalam serbuan itu.

"Aktiviti sindiket itu terbongkar selepas polis pada asalnya melakukan serbuan berkait kes dadah, namun menemui MyKad palsu beserta pelbagai peralatan untuk pemalsuan.

"Turut dirampas pelbagai dokumen palsu termasuk 12 keping MyKad, dua keping lesen memandu, pelbagai keratan kertas mengandungi nama dan nombor kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM500 serta pil syabu seberat 7.1 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

Mohd Khairi berkata siasatan mendapati kesemua MyKad palsu yang dirampas menggunakan nama dan nombor kad pengenalan milik individu sebenar, namun gambar telah diubah dan tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek menggunakan MyKad palsu untuk tujuan penipuan kewangan termasuk membuat permohonan pinjaman bank secara dalam talian dan telah berjaya mendapatkan 12 kelulusan pinjaman bank berjumlah RM40,000.

"Sindiket ini dipercayai telah aktif lebih setahun lalu. Seorang daripada suspek mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT).

"Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Mohd Khairi berkata suspek direman bermula 24 April lepas dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Besut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan dan Akta Pendaftaran Negara 1959.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS