[Tulisan ini berdasarkan kenyataan Rem Dambul pada 28 April. Beliau antaranya berkata, “Bila sasterawan negara diberi secara anumerta kepada Mana Sikana, saya fikir ini mencetuskan masalah prinsip yang serius”.]
Dalam dunia persuratan, wujudnya kepelbagaian dan perbezaan pandangan. Itu lumrah. Lain padang lain belalang, lain orang lain pendapat. Namun apabila keputusan rasmi negara dibuat melalui proses penilaian yang sah, maka adab ilmu menuntut kita berhujah dengan rasional, bukan emosi. Polemik berhubung penganugerahan sasterawan negara ke-16 kepada Mana Sikana wajar dilihat dalam kerangka lebih luas: sejarah institusi, nilai karya, dan makna warisan.
Ada pihak berhujah bahawa gelaran sasterawan negara tidak sesuai diberi secara anumerta kerana kononnya penerima perlu terus berfungsi selepas menerima anugerah. Hujah ini nampak kemas di permukaan, tetapi longgar pada asasnya. Soalnya mudah: adakah gelaran tertinggi sastera negara hanya untuk tubuh yang masih bernyawa, atau untuk akal budi yang mengubah peradaban bangsa?
Tambahan, mesyuarat jemaah menteri pada 30 Januari meluluskan pindaan terhadap Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara, membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan layak dinilai untuk menerima anugerah berkenaan.
Menteri pendidikan berkata ketetapan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pengiktirafan tertinggi negara diberikan berasaskan jasa, sumbangan pemikiran dan ketokohan sastera, tanpa terhalang oleh kekangan teknikal berkaitan status hayat.

Anugerah Sastera Negara diwujudkan untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang dan berterusan kepada kesusasteraan kebangsaan. Kata kuncinya ialah sumbangan, bukan semata-mata kehadiran fizikal di pentas majlis. Jika ukuran sebenar ialah karya, maka karya Mana Sikana telah lama berbicara bagi pihak dirinya.
Beliau bukan nama picisan yang muncul semusim. Mana Sikana ialah sarjana kreatif yang menggabungkan teori, kritikan dan penciptaan. Beliau menghasilkan lebih 100 karya pelbagai genre, termasuk novel, cerpen, drama dan buku teori sastera. Antaranya Ronjang, Kesesatan, Syajar, Teori Sastera Teksdealisme dan Teori dan Kritikan Sastera Kontemporari.
Orang lama berpesan, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dalam konteks ini, pengarang besar meninggalkan pemikiran.
Ada yang mendakwa sasterawan negara mesti terus memberi kuliah, membimbing penulis muda, menjadi suara moral semasa dan hadir ke acara rasmi. Benar, itu nilai tambah yang baik. Tetapi ia bukan syarat tunggal yang membatalkan nilai sumbangan lampau.
Kalau begitu logiknya, adakah tokoh yang uzur, sakit, atau tidak lagi aktif di khalayak automatik hilang kelayakan? Sudah tentu tidak. Dalam banyak bidang, penghormatan tertinggi diberikan kerana keseluruhan jasa, bukan jadual aktiviti semasa.
Di universiti seluruh dunia, profesor emeritus dihormati kerana warisan ilmunya. Dalam seni, karya Ludwig van Beethoven terus dimainkan walaupun penciptanya telah lama tiada. Dalam falsafah, pemikiran Aristotle masih diajar selepas dua ribu tahun. Nilai seseorang tokoh tidak terhenti pada degup jantungnya.
Keputusan dimuktamadkan ketika hayat
Fakta paling penting yang sering diabaikan ialah panel penilai memuktamadkan keputusan pemilihan pada 14 April 2025, ketika Mana Sikana masih hidup. Beliau meninggal dunia pada 26 Mei 2025 sebelum pengumuman rasmi dibuat. Kemudian, tatacara dipinda bagi membolehkan calon yang telah diputuskan tetap diisytiharkan sebagai penerima.
Ini bermaksud beliau bukan dipilih kerana sudah meninggal dunia, tetapi diiktiraf berdasarkan keputusan yang telah selesai semasa hayatnya. Perbezaan ini besar. Jangan dicampur aduk antara “dipilih selepas mati” dengan “diumumkan selepas wafat”.
Kalau surat sudah ditandatangani, hanya belum dipos, adakah isi surat itu terbatal?
Dalam tradisi negara dan antarabangsa, penghormatan anumerta bukan perkara ganjil. Malaysia sendiri pernah menganugerahkan pengiktirafan besar kepada tokoh seni dan wira negara selepas pemergian mereka. Seniman Agung P Ramlee menerima gelaran Tan Sri secara anumerta. Anggota keselamatan di Lahad Datu yang gugur juga sering menerima pingat keberanian selepas wafat.
Maknanya, negara mengiktiraf bahawa jasa besar tidak dikuburkan bersama jasad. Maka mengapa dalam sastera kita mahu menyempitkan tafsiran?
Yang membezakan Mana Sikana bukan sekadar banyaknya menulis, tetapi beliau membina kerangka fikir. Konsep seperti teksdealisme, intertekstualiti dan pendekatan berteraskan nilai Islam memperkayakan medan kritikan tempatan. Beliau membuka ruang agar sastera Melayu dibaca bukan hanya sebagai cerita, tetapi sebagai sistem makna.
Pendeta Za’ba pernah menegaskan bahawa kemajuan bangsa bergantung pada ilmu dan bahasa. Mana Sikana bekerja di simpang dua jalan itu – memperkukuh bahasa melalui kesusasteraan, dan memperkukuh sastera melalui pemikiran.
Dalam zaman media sosial yang laju tetapi cetek ilmu dan dangkal akal, tokoh seperti ini ibarat telaga di tengah kemarau.
Kritikan pada DBP wajar, tapi berimbang
Institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak kebal daripada kritikan. Jika ada kelewatan pengumuman atau kelemahan tatakelola, itu boleh dibahas secara sihat. Namun menganggap keseluruhan keputusan tidak bermaruah hanya kerana isu prosedur adalah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Lebih baik polemik ini dijadikan pemangkin pembaikan: garis masa penilaian lebih jelas, ketelusan lebih tinggi, dokumentasi lebih tersusun, dan komunikasi lebih cepat. Institusi perlu diperbaiki, bukan diruntuhkan dengan sinisme.
Dunia sastera sepatutnya mengajar keluasan jiwa. Jika sesama pengarang dan sarjana pun sukar menerima keputusan berbeza, bagaimana kita mahu mendidik masyarakat tentang kematangan wacana?

Tidak semua orang wajib bersetuju. Tetapi menolak pengiktirafan kepada tokoh besar semata-mata kerana beliau telah pergi adalah pandangan yang terlalu mekanikal. Sastera bukan jenama ciptaan di kilang robot dan produk ada cop tarikh luput.
Kesimpulannya, Anugerah Sastera Negara (ASN) kepada Mana Sikana wajar diterima dengan lapang dada. Ia bukan hadiah sentimental, tetapi pengesahan terhadap jejak intelektual yang panjang dan konsisten. Perlu ada akal yang bernas dan worldview yang luas – negara tidak menobatkan kematian karyawan; negara menobatkan sumbangan sasterawan.
Manusia boleh pergi, tetapi karya yang jujur akan terus tinggal. Dan dalam sejarah persuratan bangsa, nama Mana Sikana kini terpahat dan diangkat dan diletak pada singgahsana yang sewajarnya.
RAMLEE WAHAB ialah penggiat politik akar umbi serta penulis dan pemenang anugerah sastera.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
