Seorang pegawai tentera yang terlibat dalam nahas di Lebuhraya MEX baru-baru ini didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.
Jad Faid Arhan, 31, dituduh menyebabkan kematian Muzahid Millad pada 23 April kira-kira jam 5.30 pagi di lebuh raya tersebut.
Mangsa merupakan warganegara Bangladesh yang juga seorang pencipta kandungan permainan video yang terkenal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga maksimum 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali.
Tertuduh yang kini digantung tugas mengangguk dan berkata “saya faham” ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh juga tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan bunuh adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Jad mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia didakwa memandu sebuah Ford Fiesta di bawah pengaruh minuman memabukkan di lebuh raya tersebut, ketika dalam perjalanan dari Salak Selatan menuju ke Jalan Tun Razak pada hari dan waktu yang sama.
Menurut kertas pertuduhan, keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu mengawal kenderaan dengan baik, sehingga mengakibatkan kecederaan kepada Nafisa Tabassum, seorang warga asing, serta seorang lelaki tempatan, Jailani Sapih.
Peruntukan tersebut membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, selain denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Tertuduh berusia 31 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmin Tuan Roslan.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh memandangkan dia kini berada dalam tahanan bagi kes bunuh.
Kedua-dua majistret menetapkan 21 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail dan Izzat Amir manakala tertuduh diwakili peguam Nazreen Jaafar Abdullah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa sebelum ini berkata pada 23 April bahawa kereta dipandu Jad dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berdepan dengan sebuah MPV e-hailing.
Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang lelaki yang duduk di barisan tengah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi penumpang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Zamzuri turut memaklumkan bahawa ujian pernafasan terhadap pemandu Ford Fiesta itu menunjukkan tahap alkohol melebihi had yang dibenarkan. Hasil ujian air kencing negatif, mendapati tiada dadah di dalam tubuhnya.
