Presiden Donald Trump berkata bahawa sekatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran boleh berlarutan selama berbulan-bulan, yang menyebabkan harga minyak melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun pada Rabu.
Ketika diplomasi antara Iran dan AS menemui jalan buntu selepas permulaan yang gagal, Trump bercakap melalui telefon dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, yang memberi amaran kepadanya tentang "kesan merosakkan" jika AS dan Israel meneruskan perang mereka terhadap Iran.

AFP melaporkan pada pertemuan bersama eksekutif industri minyak, Trump berhujah sekatan terhadap pelabuhan Iran — yang dituntut Tehran agar ditamatkan sebelum sebarang perjanjian dimeterai — lebih berkesan berbanding pengeboman.
Trump, dalam mesyuarat yang berlangsung pada Selasa, membincangkan usahanya "untuk meredakan pasaran minyak global dan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk meneruskan sekatan sedia ada selama berbulan-bulan jika perlu dan meminimumkan kesan kepada pengguna Amerika," kata seorang pegawai Rumah Putih yang enggan dikenali.
Niaga hadapan minyak Brent melonjak lagi 7.6 peratus kepada AS$119.69 setong, harga tertinggi sejak awal perang Ukraine pada 2022.
Iran sebelum ini berusaha mengenakan "harga" terhadap serangan yang diterimanya dengan mengawal Selat Hormuz, laluan sempit yang biasanya menjadi laluan bagi satu perlima minyak dunia.
Sementara itu, Trump, ketika bercakap kepada Axios, mengulas mengenai tindakan tentera laut AS ke atas Iran: "Mereka sedang tercekik seperti seekor babi. Dan ia akan menjadi lebih buruk buat mereka."

Trump berdepan tekanan politik yang kuat untuk menamatkan perang itu, yang tidak popular termasuk dalam kalangan sebahagian penyokongnya sendiri, selain meningkatkan kos kepada pengguna di stesen minyak dan menimbulkan kebimbangan sekutu AS.
Pada Rabu, Trump mengkritik Canselor Jerman, Friedrich Merz dengan mengugut untuk mengurangkan jumlah tentera AS di Jerman berikutan keengganan Berlin menyokong perang di Iran atau menyumbang kepada pasukan pengaman di Selat Hormuz.
Merz menjadi sasaran kemarahan Trump selepas berkata awal minggu ini bahawa Iran sedang "memalukan" Washington di meja rundingan.
Pegawai kanan AS termasuk Naib Presiden, JD Vance dilaporkan dua kali membatalkan lawatan minggu lalu ke Pakistan untuk berunding dengan Iran, yang menyuarakan keraguan terhadap keikhlasan Trump dalam diplomasi.
Pegawai AS berkata, mereka tidak pasti siapa sebenarnya mewakili Iran, sama ada Kor Pengawal Revolusi Islam yang semakin berkuasa atau diplomat, selepas serangan Israel membunuh beberapa pemimpin tertinggi negara itu.

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memberi amaran bahawa perang itu, yang turut menyebabkan harga baja melonjak, boleh menjerumuskan lebih 30 juta orang ke dalam kemiskinan di 160 negara.
"Ia pembangunan yang mundur," kata ketua UNDP, Alexander De Croo kepada AFP.
Walaupun dengan sikap tegas negara yang dipimpin oleh ulama itu, rial Iran jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS.
Sementara itu, penduduk Tehran yang bercakap kepada wartawan AFP di Paris melaporkan rasa putus asa.
"Setiap kali rundingan dijalankan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, situasi ekonomi rakyat hanya menjadi lebih buruk.
“Sekatan sama ada bermula atau diperhebatkan," kata seorang arkitek berusia 52 tahun kepada AFP, yang bercakap tanpa mahu mendedahkan namanya.
"Isunya sentiasa mengenai nuklear. Tidak ada perbincangan tentang rakyat, ekonomi atau kebebasan. Rakyat berhak untuk tidak mahu mendengar perkataan 'rundingan' pun," katanya.

Iran sebelum ini ada encadangkan untuk melonggarkan kawalannya ke atas Selat Hormuz sekiranya Washington menarik balik sekatan dan menjalankan rundingan yang lebih menyeluruh. Bagaimanapun pentadbiran Trump memandang cadangan itu dengan penuh ragu-ragu.
Speaker parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang muncul sebagai tokoh penting sejak permulaan perang, berkata pada Rabu bahawa sekatan tentera laut AS terhadap negara itu bertujuan untuk mewujudkan perpecahan dan "membuatkan kita runtuh dari dalam."
Keganasan juga berterusan di medan perang Lubnan, walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah — kumpulan bersenjata disokong Iran — telah dilanjutkan baru-baru ini.
Buat pertama kali sejak gencatan senjata bermula, tentera Lubnan berkata pada Selasa serangan Israel menyasarkan anggota tenteranya, mencederakan dua askar di selatan negara itu.
Satu lagi serangan pada Rabu mengorbankan seorang askar Lebanon, menurut tentera.

"Israel mesti akhirnya sedar bahawa satu-satunya jalan menuju keselamatan ialah melalui rundingan, tetapi ia mesti terlebih dahulu melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata untuk bergerak ke arah rundingan," kata Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam satu kenyataan.
Satu laporan yang disokong PBB pada Rabu menyatakan lebih 1.2 juta penduduk Lubnan dijangka berdepan kelaparan akut akibat perang terbaru itu.
