ULASAN SUKAN | Tersingkirnya skuad lelaki Indonesia dari saingan Piala Thomas amat mengejutkan dunia badminton sehingga pada saat ini. Ini memang cerita benar.
Indonesia pernah menjulang piala itu sebanyak 14 kali tetapi mereka tidak pernah diketepikan lawan seawal di peringkat kumpulan sejak kejohanan tersebut dimulakan pada 1949.
Kita, peminat di Malaysia, pun terperanjat.
Ramai turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pasukan negara jiran itu gara-gara tewas 1-4 kepada Perancis di Horsens, Denmark, kelmarin.
Macam mana boleh kalah? Hairan, kan, sampai tak dapat layak ke suku akhir.
Persoalan panas seperti memang wajar dibangkitkan. Rakyat Indonesia sedang menunggu jawapan. Pihak media difahamkan mula melontarkan banyak persoalan mengenai masa depan pasukan negara itu.
Tragedi Horsens ‘26 ini meminta Indonesia bangun semula. Lupakan reputasi dan sejarah pencapaian lalu bahawa mereka adalah antara nama besar dalam kancah Piala Thomas.
Seperti Malaysia, mereka juga perlu kembali kepada asas permainan serta mencari jawapan pantas untuk bersaing di era digital yang semakin menunjukkan perubahan dalam struktur permainan lebih dinamik ini.
Persoalan itu juga boleh menyedarkan pasukan gergasi seperti Indonesia dan Malaysia betapa ‘gelombang baru’ sudah mula hadir secara perlahan-lahan untuk merampas status masing-masing jika pihak yang berkaitan terus lena dibuai mimpi indah.
Negara seperti Taiwan, India, Thailand dan Jepun semakin mantap. Hakikat ini terarah kepada kesimbangan dalam pasukan yang makin jelas iaitu barisan perseorangan dan beregu yang mampu mencabar gergasi dunia lain di kejohanan elit.
Negara lain sedang mara
Pemain perseorangan dan beregu mereka juga konsisten dalam Jelajah Dunia BWF sejak setahun dua lalu. Ini memberi kestabilan lebih padu kepada mereka dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas.
Perancis yang juga juara baru Kejohanan Eropah membuktikan nilai mereka. Penulis tidak hairan apabila Indonesia kalah kepada pasukan berkenaan.
Hal itu mungkin kerana jaguh Asia berkenaan mengambil sikap mudah, malah mungkin juga mengharapkan magis Piala Thomas sahaja.
Kita perlu ingat, Perancis bukan hadir dengan barisan lemah. Mereka dibarisi bintang baru seperti pasangan adik beradik, Christo Popov dan Toma Junior Popov, serta Alex Lanier. Mereka menang tiga perlawanan pertama masing-masing untuk menjadikan kedudukan 3-0 dan mengesahkan tiket ke suku akhir.
Perancis yang anda lihat hari ini ialah Perancis yang membina mentaliti pemain dengan begitu kuat menerusi kerahan latihan keras serta program pembangunan padu sejak beberapa tahun lalu.
Kita kurang nampak realiti itu kerana mereka masih dianggap sang kerdil dalam minda kita.

Gergasi tersohor sudah tumbang. Inilah realiti pada hari ini.
Taiwan pun mempunyai ciri-ciri sama seperti Perancis. Lihat sajalah apa yang mampu dicipta oleh pasukan tersebut pada suatu hari nanti.
Jika Indonesia dan Malaysia adalah pasukan nombor satu dan dua di Asia Tenggara, status itu boleh berubah dengan Thailand yang semakin ke depan. Begitu juga Singapura dan Vietnam.
Inilah apa yang dikatakan ‘gelombang baru’ yang sedang menyala secara diam-diam. Perancis juga ada prospek besar untuk muncul menjadi pasukan terunggul di Eropah dan akhirnya menyingkirkan dominasi Denmark.
Pandagan sama turut dikongsi oleh bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock, dalam satu kenyataan kelmarin.
Sia-sia bergantung kenangan lalu
Pada tanggapannya dominasi Asia dalam badminton sudah berakhir dan Malaysia harus menerima hakikat bahawa kuasa tradisi dalam sukan ini tidak lagi dapat boleh mengekalkan status masing-masing.
Pada firasatnya, kejutan kekalahan Indonesia kepada Perancis sekadar membuktikan betapa peta kompetitif sukan sudah dilakar semula sejak badminton diterima sebagai antara acara rasmi Sukan Olimpik sejak 1992.
Tambahnya, sejak detik itu badminton menarik pelaburan dan fokus dari negara yang dilabel kerdil satu ketika dulu.
Gambaran itu sekali gus menceritakan dominasi Malaysia-Indonesia-China-Denmark mengungguli kejuaraan utama - khasnya Piala Thomas - sudah berjaya dipatahkan.
Cuma China nampak kekal unggul ketika ini.
Ewe Hock turut mengingatkan kita semua bahawa Malaysia juga akan berdepan risiko menanggung detik sengsara sama seperti Indonesia.
Situasi itu akan muncul apabila kita masih bergantung harap kepada kegemilangan lalu berbanding membicarakan kelemahan dalam struktur permainan, khasnya dalam acara perseorangan.

Bagi Indonesia, sekarang bukan masanya lagi untuk mempertahankan reputasi tapi membina semula wajah cabaran mereka yang tidak pernah dipertikaikan sejak 1949.
Jika dulu kita sebut Piala Thomas, nama Indonesia paling awal muncul dalam fikiran. Tetapi masa sudah berubah sepenuhnya.
Tempias kekalahan mengejutkan pasukan tetangga kita ini pasti akan terasa di negara kita. Justeru skuad Malaysia perlu belajar daripada detik hitam itu untuk dijadikan iktibar sekali gus memulihkan reputasi dan kembali menjadi gergasi dunia.
Kegemilangan tidak dapat dibina menerusi kemegahan dan sejarah silam, sebaliknya melalui komitmen tinggi serta berusaha lebih gigih membina perwatakan baru.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
