Pulau Pinang masih tidak memerlukan penyediaan belanjawan tambahan memandangkan kedudukan kewangannya masih kukuh ketika ini meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri juga akan terus memberi tumpuan kepada pengawalan kos dan memastikan kutipan hasil berjalan seperti yang dijangkakan untuk mengekalkan kedudukan kewangan semasa.
Beliau berkata walaupun mengambil pendekatan berjimat, ia tidak bermaksud menghentikan perbelanjaan, sebaliknya memastikan perbelanjaan diurus secara berhemah agar defisit dapat dikurangkan atau kedudukan kewangan terus berada dalam lebihan.
“Kedudukan kewangan negeri masih sihat dan tidak perlu ada belanjawan tambahan pada ketika ini, kalau perbelanjaan terus meningkat, itu yang merisaukan tetapi setakat ini kita masih dalam keadaan surplus (lebihan) dan akan terus mengawal kos,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penamaan Semula Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fung Kee di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung keperluan kerajaan negeri untuk membentangkan semula belanjawan sebagai langkah berjimat-cermat berikutan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri akan meneliti pelaksanaan projek yang belum ditawarkan termasuk kemungkinan menjadualkan semula atau menangguhkannya berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa.
Beliau berkata langkah itu diambil berikutan cabaran yang dihadapi kontraktor untuk membida projek di tengah-tengah peningkatan kos termasuk bahan binaan dan bahan api.
“Bagi projek yang telah berjalan, ia akan diteruskan seperti biasa, namun kita juga menjangkakan terdapat permintaan daripada kontraktor berkaitan kenaikan kos termasuk harga diesel,” katanya.
Bagi projek khususnya di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Chow berkata rundingan dengan kontraktor akan dibuat berhubung tuntutan kenaikan kos operasi.
Katanya PDC juga telah memutuskan untuk berkongsi sebahagian beban kenaikan kos itu bersama kontraktor sebagai langkah meringankan tekanan yang dihadapi industri pembinaan ketika ini.
- Bernama
