Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Zon kuning Umno-BN: Rawatan kecemasan atau menghitung hari?

ULASAN l Saya tidak hairan apabila Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dasuki, nampak begitu gembira apabila, menurut perkiraan beliau, ramai memohon untuk menyertai parti itu.

Ini adalah kerana, bermula Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah hilang sokongan yang teruk dan berterusan. Berjuta-juta pengundi meninggalkannya.

Jadi, tidaklah menghairankan kalau Asyraf Wajdi kegembiraan mendapati 3,716 ahli baharu direkodkan dalam masa tidak sampai 24 jam.

Tetapi, 3,716 ahli baru, malah 100,000 sekali pun, belum memadai untuk mengembalikan kegemilangan Umno dan BN.

Sebaliknya, Asyraf Wajdi perlu bimbang mengenai hala tuju Umno-BN yang terus berkecamuk seperti dipamerkan oleh tindak-tanduk Adunnya di Negeri Sembilan sekarang. Umpama kapal yang nakhodanya mabuk candu.

Prestasi pilihan raya Umno-BN sejak PRU 2008 terus menurun. Dalam PRU 2004, yang mengundi BN 63.82 peratus. Pada PRU 2008 jatuh kepada 50.96 peratus. Dalam PRU 2013 yang bertemakan "cash is king", sokongan tergadap BN jatuh kepada 47.38 peratus.

Dalam PRU 2018, BN kalah terus dengan hanya memperoleh 33.77 peratus undi berbanding Pakatan Harapan (PH), pimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang mendapat 45.67 peratus undi.

Dalam PRU 2022, apabila BN berkempen atas slogan "No Bersatu, No Anwar, No DAP", di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi, ia hanya mampu mengemis 23.40 peratus undi.

Kerusi Dewan Rakyat BN merosot daripada 198 dalam PRU 2004 kepada 140 (2008), 133 (2013), 79 (2018), dan 30 (2022).

Bilangan permohonan keahlian yang diuar-uarkan oleh Asyraf Wajdi itu adalah berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno 17 April lalu untuk menerima balik 6,252 ahli yang dipecat dan digantung, termasuk Hishammudin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Kebetulan, empat hari sebelum keputusan MT Umno itu, saya dan dua orang bekas pengarang tahun 1980-an telah bersarapan dengan seorang ahli MT Umno berpangkat menteri.

Tema perbualan adalah siapa yang sesuai untuk mempelopori pemulihan Umno?

Boleh jadi kefahaman saya silap. Tetapi daripada nada hujah beliau, nampak yang beliau melihat melepasi kepemimpinan tertinggi sekarang.

Daripada tiga orang kami, seorang nampaknya tidak menolak Ahmad Zahid terus menerajui Umno. Ini adalah kerana beliau akrab dengan presiden Umno itu dan sangat setia kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Saya dari awal lagi berpendirian, Umno tidak dapat dipulihkan jika terus dipimpin oleh presiden dan timbalan yang ada sekarang.

Johari Abdul Ghani

Saya sebutkan dua nama yang layak diberi perhatian untuk kepemimpinan masa depan. Pertama, Johari Abdul Ghani, dan kedua, Khairy Jamaluddin. Waktu itu Khairy masih orang buangan Umno.

Johari sudah ada kedudukan yang baik dalam Umno dan kerajaan. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno 2023-26, beliau menang tempat ketiga naib presiden. Dalam kabinet beliau sudah terajui dua kementerian - perladangan dan pelaburan.

Beliau daripada latar belakang bandar dari kalangan rakyat biasa. Budak Kampung Pandan. Beliau mempunyai rekod kerja sektor swasta yang luas dan berjaya.

Khairy dari latar belakang elit. Lahir di Kuwait City ketika bapanya bertugas sebagai diplomat dan membesar di luar negara.

Kontroversial ketika pentadbiran Almarhum Abdullah Ahmad Badawi. Bermula sebagai pegawai khas berakhir dengan menjadi menantu beliau. Beliau adalah antara "Budak-budak Tingkat Empat" paling berpengaruh.

Beliau berjaya membentuk semula (reinvent) politik beliau selepas persaraan Almarhum Abdullah dan dilihat sebagai berkesan ketika memimpin kementerian kesihatan semasa pandemik Covid-19 di bawah pentadbiran Muhyiddin Mohd Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Khairy Jamaluddin

Kebimbangan (reservation) saya hanyalah, kedua-dua mereka adalah Melayu bandar yang mungkin kurang mesra dengan luar bandar - terlalu elitis. Namun mereka boleh belajar daripada ramai penggiat muda yang berlatar belakang luar bandar dalam Umno.

Kesimpulannya, tempoh antara sekarang dengan PRU ke-16, yang kita tidak tahu bila, adalah tempoh rawatan zon kuning bagi Umno dan BN.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk ‘Zon Kuning Umno-BN’. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS