Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Gegaran di Seremban, gempa di Putrajaya: Siapa kuasai Umno

ULASAN l Jangan baca kemelut politik Negeri Sembilan dengan mata orang biasa. Ini bukan sekadar soal menteri besar digoncang atau 14 Adun Umno-BN hilang kepercayaan.

Seremban hari ini sedang menghantar amaran politik sampai ke Putrajaya, dan nama pertama yang paling terasa panasnya ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Aminuddin Harun dan Jalaluddin Alias hanya nama di permukaan. Menteri besar dan pengerusi Umno Negeri Sembilan itu cuma pintu masuk kepada cerita yang lebih besar. Krisis sebenar sedang duduk di atas meja Zahid, menyentuh kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan membuka semula bayang Mohamad Hasan dalam Umno.

Empat belas Adun tidak bergerak serentak kerana emosi. Dalam politik, angka sebesar itu bukan tersadung di tepi jalan. Itu isyarat yang disusun, dihitung dan dilepaskan dengan sasaran. Yang nampak di depan ialah krisis negeri. Yang bergerak di belakang ialah ujian terhadap kuasa Umno.

Peluru mendarat di meja Zahid

Soalan sebenar bukan lagi sama ada Aminuddin mampu bertahan atau tidak. Soalan sebenar ialah sama ada Zahid masih presiden yang mengawal Umno, atau sudah menjadi presiden yang diajar oleh Umno negeri sendiri. Di Seremban ramai orang tersalah baca. Mereka sangka Umno Negeri Sembilan sedang menekan PH semata-mata. Hakikatnya, peluru politik itu akhirnya mendarat di meja Zahid.

PH memang terkena di depan mata. Tetapi yang terasa di dada ialah Zahid. Umno Negeri Sembilan mungkin menyebut nama menteri besar, tetapi tekanan sebenar sedang dihantar kepada presiden Umno, sampai bila parti itu mahu menjadi penanggung beban kepada formula kuasa orang lain?

Sebab itu bahasa Umno pusat kedengaran pelik dan serba salah. Hormat keputusan Adun, tetapi mahu selamatkan kerajaan. Hilang kepercayaan kepada menteri besar, tetapi tidak mahu formula Perpaduan retak. Itu bukan bahasa parti yang kuat. Itu bahasa parti yang tersepit.

Kalau Zahid benar-benar bebas dan kuat, pendiriannya tentu jelas. Tetapi Zahid tidak boleh menghentam Umno Negeri Sembilan kerana di situ ada maruah parti. Dia juga tidak boleh mencekik PH terlalu kuat kerana di situlah nyawa politik pusatnya sedang berteduh. Maka Zahid berdiri di tengah jalan, dilanggar dari dua arah.

Krisis sedang kawal Zahid

Inilah perangkap paling sakit untuk Zahid. Kalau dia tundukkan Umno Negeri Sembilan, dia dilihat menjaga Anwar lebih daripada menjaga Umno. Kalau dia biarkan Umno Negeri Sembilan terus melawan, dia menggoncang kerajaan yang sedang menjadi tiang kedudukannya sendiri.

Zahid bercakap keras, perang dalaman Umno terbuka. Zahid diam, dia nampak lemah. Zahid pilih PH, akar umbi Umno akan marah. Zahid pilih Umno negeri, PH akan hilang percaya.

Maka hakikatnya Zahid bukan sedang mengawal krisis. Krisis sedang mengawal Zahid. Dan itulah perkara paling pahit bagi seorang presiden parti yang masih mahu dilihat kuat.

Negeri Sembilan bukan sedang mengadili Aminuddin sahaja. Negeri Sembilan sedang mengadili Zahid, masihkah presiden Umno itu mengawal partinya, atau partinya sudah mula mengawal presiden?

Anwar juga jangan pura-pura selesa. Kalau gegaran Umno negeri pun boleh terasa sampai ke Putrajaya, itu bermakna kerajaan pusat bukan berdiri atas batu. Ia berdiri atas perjanjian politik yang sentiasa boleh retak.

Anwar mungkin tidak jatuh hari ini, tetapi kelemahannya sudah ditunjukkan, beliau bergantung kepada Zahid, sedangkan Zahid sendiri sedang ditekan dari rumahnya sendiri.

Siapa perlu siapa?

Di sinilah cerita kestabilan mula terdedah. Kerajaan ini bukan sekadar dibina atas prinsip seperti yang dijual kepada rakyat. Ia dibina atas kebergantungan politik. PH perlukan Zahid. Zahid perlukan Putrajaya.

Anwar perlukan Umno. Umno negeri pula semakin letih menanggung kos politik yang makin lama makin memakan diri sendiri.

Ini bukan kekuatan moral. Ini transaksi survival. Anwar hidup dengan sokongan Zahid. Zahid hidup dengan perlindungan Putrajaya. PH hidup dengan angka Umno. Tetapi di bawah, akar umni Umno bertanya, sampai bila parti mereka mahu menjadi tongkat kepada kerajaan orang lain, sedangkan maruah parti sendiri makin hari makin luka?

Sebab itu Mohamad Hasan tidak boleh dibaca sebagai watak sampingan. Beliau timbalan presiden Umno, bekas menteri besar Negeri Sembilan dan tokoh yang faham urat nadi negeri itu.

Sumpah laknat

Dalam krisis seperti ini, nama Mohamad tidak hadir sebagai hiasan. Mohamad tidak perlu menjerit. Dalam Umno, ada orang yang diam pun sudah bercakap. Bayangnya sahaja cukup untuk mengingatkan Zahid bahawa parti tidak lagi semestinya tunggal di tangannya.

Yang tersurat ialah 14 Adun hilang kepercayaan kepada menteri besar. Yang tersirat ialah Umno Negeri Sembilan sedang menguji Zahid. Yang lebih dalam ialah Anwar bergantung kepada presiden Umno yang sedang ditekan oleh rumahnya sendiri. Yang paling dalam ialah bayang Mohamad tidak boleh dibuang daripada bacaan krisis ini.

Maka jangan baca Seremban sebagai krisis negeri. Seremban hari ini ialah cermin besar politik Malaysia.

Dalam cermin itu rakyat boleh nampak three wajah sekaligus, Zahid yang terkunci, Anwar yang bergantung, dan Mohamad yang semakin membesar dalam bayang Umno.

Aminuddin mungkin nama yang disebut. Jalaluddin mungkin wajah yang tampil. Tetapi gegaran sebenar sedang sampai kepada Zahid, menyentuh Anwar, dan membuka semula persoalan besar dalam Umno, siapa sebenarnya mengawal parti itu hari ini?

Yang terbaik adalah kembalikan mandat kepada rakyat dan adakan pilihan raya negeri (PRN). Jika ada PRN pasti PH (PKR, DAP, Amanah) dan BN (Umno) akan bungkus 101 peratus.

Janganlah sumpah laknat lagi. Ini pun sudah dimakan sumpah.


IBRAHIM ALI ialah presiden Putra

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS