Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawi bantah festival muzik Rain Rave, anjur solat hajat serentak
Diterbitkan:  Apr 30, 2026 4:56 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantah penganjuran program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.

Sambil menyatakan kekesalan jabatan itu terhadap perancangan acara hiburan berkenaan pengarahnya, Hanifuddin Roslan, mendesak penganjur supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini .

"Jawi menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program terbabit dan berharap pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya

"Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanifuddin berkata, bantahan itu turut disokong oleh pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan Bayan Linnas Siri Ke-351.

Sebagai langkah susulan, katanya, Jawi akan menganjurkan bacaan Yassin dan solat hajat serentak di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat Maghrib hari ini.

Majlis tersebut bertujuan mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan serta rakyat Malaysia secara amnya.

Tambah Hanifuddin, Jawi juga akan meneruskan pelaksanaan program keagamaan melalui kuliah, ceramah, forum, dan kempen di media sosial berkaitan kepentingan mematuhi perintah Allah serta menjauhi program berunsur maksiat.

Dia turut memohon kerjasama semua pihak bagi memastikan sebarang program hiburan tidak mempunyai unsur yang menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat.

MAIWP turut bantah

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyatakan bantahan keras terhadap penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.

MAIWP menegaskan bahawa penganjuran festival tersebut dilihat kurang sesuai memandangkan Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang menempatkan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Penganjuran ini sudah pasti akan mengganggu sensitiviti masyarakat setempat.

“Pada pandangan kami, penganjuran ini sama sekali tidak melambangkan prinsip dan adat ketimuran yang menjadi teras masyarakat di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Buka ruang maksiat

Menurut MAIWP, program yang bersifat hiburan bebas (rave) dan melibatkan aktiviti air secara terbuka dilihat sebagai satu bentuk keterlanjuran yang boleh membuka ruang kepada pergaulan bebas serta kelakuan tidak bermoral.

Pendirian itu turut disandarkan kepada ulasan Bayan Linnas Siri ke-351: Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menyifatkan pesta hiburan sedemikian sering dikaitkan dengan unsur yang mencetuskan persoalan dari sudut nilai, adab, dan hukum syarak.

S”ebagai pemegang amanah hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, MAIWP menyatakan mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan ibu negara tidak menjadi lokasi aktiviti yang boleh meruntuhkan akhlak generasi muda.

“Sehubungan itu, MAIWP menyeru agar pihak penganjur lebih bertanggungjawab dalam memilih bentuk hiburan yang bermanfaat tanpa mencetuskan polemik yang menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS