Keluarga kepada seorang komando berusia 25 tahun menuntut keadilan selepas anak lelaki mereka berada dalam keadaan parah susulan satu kejadian di sebuah kem tentera di Johor.
Truper Abdul Hamid Talib, anggota Grup Gerak Khas (GGK), mengalami kecederaan parah bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor pada 11 Mac.
Abdul Hamid dilaporkan mengalami trauma kepala yang teruk, dengan sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang berikutan tahap kecederaan tersebut.
Dia kini tidak mampu bercakap, makan, mahupun mengenali keadaan sekeliling, dan bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk menerima nutrisi serta alat bantuan pernafasan.
Bercakap pada sidang media hari ini, peguam yang mewakili keluarga itu mendakwa penjelasan awal yang diberikan oleh pihak tentera mengenai kecederaan trupper itu adalah disebabkan oleh kejatuhan.

Peguam N Surendran dan Suzana Norlihan Alias bagaimanapun mempertikaikan penjelasan tersebut, dengan berhujah bahawa tahap kecederaannya lebih konsisten dengan serangan atau hukuman fizikal yang teruk.
“Penjelasan yang diberikan adalah dia jatuh. Saya tidak fikir sesiapa akan percaya bahawa seorang komando berusia 25 tahun yang sihat boleh jatuh dan berakhir begini.
“Mangsa juga mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang.
“Keadaan ini menyebabkan beliau berdepan risiko hilang upaya kekal," kata Surendran di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya, hari ini.
Kesukaran dapatkan laporan perubatan
Suzana juga mendakwa dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan laporan perubatan Abdul Hamid.
Dia mendakwa ini adalah percubaan untuk sengaja menyembunyikan laporan itu dan menghalang keluarga daripada mengambil tindakan undang-undang.
Dia menambah bahawa keluarga itu juga ditekan supaya memindahkan Hamid keluar dari hospital ke rumah sewa walaupun dia memerlukan rawatan perubatan intensif sepanjang masa.
Surendran berkata, maklumat diterima menunjukkan kecederaan itu berlaku ketika satu hukuman dikenakan ke atas mangsa di kem pada 11 Mac lalu.
Untuk rekod, mangsa, berasal dari Bum Bum, Samporna, Sabah.
Surendran seterusnya mempersoalkan perkembangan siasatan, dengan menyatakan bahawa satu laporan polis dibuat oleh abang Abdul Hamid, Saifuddin Talib, pada 14 Mac.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemas kini mengenai siasatan sehingga hari ini, dan tiada individu yang dituduh atau dikenakan sebarang tindakan tatatertib.
Apabila dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Mersing Abdul Razak Abdullah Sani berkata kertas siasatan dibuka pada hari yang sama dan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata kes berkenaan telah juga dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 28 April.
"Pihak kami kini menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat PPN Johor," katanya sambil menambah bahawa kenyataan rasmi mengenai status kes itu akan dikeluarkan hari ini.
Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Pertahanan untuk ulasan.
Tekanan kewangan dan emosi
Sejak keadaan Abdul Hamid merosot, keluarga itu dibebani dengan tekanan kewangan dan emosi yang amat besar.
Saifuddin menjelaskan bahawa ibu mereka, Josmah Duim, 54, masih trauma dengan tragedi itu, dengan berulang kali mengatakan bahawa dia masih tidak dapat menerima situasi tersebut.
Suzana menyatakan bahawa keluarga itu kini sebahagian besarnya bergantung kepada gaji bulanan Saifuddin sebanyak RM2,500 untuk menampung keperluan perubatan berterusan dan penjagaan harian Abdul Hamid.

Sementara itu, seorang lagi abang Abdul Hamid terpaksa meletak jawatan daripada pekerjaannya untuk menjadi penjaga sepenuh masa.
Peguam itu juga mendakwa sokongan dan pampasan yang diberikan daripada pihak kem adalah terlalu kecil, dengan hanya RM500 pada mulanya kepada keluarga selepas insiden tersebut.
Hanya selepas insiden itu dimuat naik oleh Suzana di media sosial, keluarga tersebut menerima bantuan tambahan RM1,500.
“Keluarga ini memerlukan banyak sokongan kewangan, kerana mereka memerlukan penjagaan intensif. Jadi kerajaan, pihak kem, perlu bertanggungjawab.
“Tetapi dalam kes ini, apa yang membuatkan saya marah adalah mengapa pihak kem tidak peduli tentang kes ini. Dan mengapa GGK atau polis tidak berkata apa-apa,” kata Suzana.
Surendran seterusnya menyifatkan situasi itu sebagai layanan tidak adil yang nyata antara rakyat biasa dan golongan elit politik.
Katanya, Josmah, adalah seorang warga Sabah berketurunan Bajau yang datang dari Sabah selepas anaknya cedera parah ketika berkhidmat untuk negara.
“Adakah golongan elit di Putrajaya faham apa yang dilalui oleh rakyat marhaen di negara ini?
“Ini soalan kami,” katanya sambil menambah bahawa ketidakcekapan seperti itu tidak akan berlaku jika ia melibatkan anak-anak individu ternama.
LFL gesa klasifikasi kes sebagai cubaan bunuh
Keluarga itu kini menuntut penggantungan segera semua pegawai dan anggota yang didakwa terlibat, dengan menyatakan ini perlu bagi mengelakkan kemungkinan gangguan terhadap siasatan atau ugutan terhadap saksi.
Mereka juga menggesa Ketua Polis Negara untuk menubuhkan pasukan petugas khas dari Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan daripada pihak berkuasa tempatan, memandangkan kurangnya perkembangan dalam kes itu setakat ini.
“Mesti ada pasukan bebas. Kita tidak boleh membiarkan siasatan kekal di mana sudah ada persoalan mengenai ketelusan dan kelewatan,” kata Surendran.

Keluarga itu juga mendesak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia untuk bertanggungjawab penuh atas apa yang berlaku, dan memberikan penjelasan kepada keluarga serta orang awam.
Selain itu, mereka menggesa Jabatan Peguam Negara untuk mengklasifikasikan semula kes itu sebagai cubaan membunuh, memandangkan tahap kecederaan Abdul Hamid yang parah dan berkekalan.
Mereka juga menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat bukan sahaja kes Abdul Hamid tetapi juga dakwaan penderaan dan salah laku yang lebih luas di kem tentera di seluruh negara.
“Kami tidak mahu melihat perkara ini berlaku kepada mana-mana keluarga lain. Bolehkah Kamu bayangkan penderitaan mereka dan apa yang mereka tempuhi sejak insiden ini?
“Oleh itu, kami menuntut kerajaan segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh dan komprehensif, “kata Surendran.
