Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Potong bajet RM10b boleh cetuskan 'penjimatan palsu', kata penganalisis

Beberapa penganalisis memberi amaran langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan mengurus kira-kira RM10 bilion, termasuk anggaran sekitar RM3 bilion bagi Kementerian Kesihatan (KKM), berisiko mewujudkan penjimatan jangka pendek yang membawa kos lebih tinggi pada masa depan.

Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai berkata, isu utama fiskal negara bukan semata-mata perbelanjaan operasi, tetapi struktur subsidi yang tidak seimbang.

Menurutnya, kos subsidi negara dianggarkan mencecah RM58.4 bilion berdasarkan harga pasaran semasa, namun peruntukan dalam Belanjawan 2026 hanya sekitar RM15 bilion melalui pendekatan subsidi bersasar.

“Dalam pada itu, Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan penjimatan sekitar RM10 bilion merentas kementerian melalui perbelanjaan mengurus. Namun masalah sebenar bukan pada perbelanjaan mengurus, tetapi pada reka bentuk subsidi yang tidak mampan,” katanya kepada Malaysiakini.

Barjoyai berkata penjimatan melalui pemotongan operasi kerajaan hanya memberi kesan terhad, malah boleh menjejaskan perkhidmatan awam penting.

Katanya, antara sektor berisiko terkesan ialah KKM dengan cadangan penjimatan RM3.06 bilion, yang berpotensi melibatkan pengurangan bekalan ubat, penangguhan naik taraf fasiliti serta tekanan terhadap tenaga kerja kesihatan.

Manakala sektor pendidikan tinggi pula berdepan risiko pemotongan RM2.39 bilion yang boleh menjejaskan geran universiti awam, biasiswa dan penyelidikan, katanya.

Barjoyai berkata keadaan itu boleh mencetuskan 'false economy', iaitu penjimatan jangka pendek yang akhirnya meningkatkan kos jangka panjang negara.

“Kurang pelaburan dalam pencegahan kesihatan atau pendidikan akan meningkatkan kos rawatan dan mengurangkan produktiviti nasional,” tambahnya.

Justeru dia mencadangkan reformasi subsidi bersasar dipercepatkan termasuk penggunaan data pendapatan isi rumah, cukai ekonomi digital dan gig serta audit ketirisan subsidi.

'Kos lebih tinggi pada masa depan'

Sementara itu Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi berkata penjimatan fiskal perlu dilihat secara seimbang antara disiplin kewangan dan tanggungjawab sosial.

Dia yang juga Felo Akademi Kenegaraan Malaysia berkata, dari sudut makroekonomi, langkah penjimatan itu boleh difahami sebagai usaha kerajaan mengawal defisit serta memperkukuh kedudukan kewangan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik dan tekanan harga tenaga.

Bagaimanapun, dia menegaskan sektor kesihatan tidak boleh dilihat melalui pendekatan penjimatan fiskal secara linear, memandangkan sistem kesihatan awam negara sudah lama berdepan pelbagai tekanan.

Antara cabaran tersebut, katanya, termasuk kekurangan tenaga kerja, kapasiti fasiliti yang terhad serta peningkatan permintaan susulan perubahan demografi dan beban penyakit tidak berjangkit.

“Walaupun pengurangan itu mungkin kecil dari segi angka relatif, kesannya boleh menjadi besar terhadap operasi harian seperti penangguhan naik taraf fasiliti, kekangan perolehan peralatan dan peningkatan masa menunggu pesakit,” katanya.

Dia juga turut memberi amaran bahawa tekanan terhadap petugas kesihatan berpotensi meningkat, sekali gus menjejaskan kualiti keseluruhan perkhidmatan awam.

Dalam masa sama, Awang Azman turut senada dengan Barjoyai yang mengingatkan risiko berlakunya fenomena “false economy”, iaitu penjimatan jangka pendek yang akhirnya membawa kepada kos lebih tinggi pada masa depan.

Katanya, apabila rawatan awal tertangguh atau akses kepada perkhidmatan kesihatan menjadi lebih sukar, keadaan penyakit boleh menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan lebih mahal.

“Ini bukan sahaja membebankan sistem kesihatan pada masa hadapan, malah memberi kesan kepada produktiviti ekonomi negara apabila rakyat tidak berada dalam keadaan kesihatan optimum,” jelasnya.

Dari sudut politik dan persepsi awam pula, Awang Azman menyifatkan pemotongan perbelanjaan dalam sektor kesihatan sebagai langkah sensitif, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar.

“Rakyat melihat kesihatan sebagai hak asas yang perlu dilindungi. Sebarang pengurangan peruntukan mudah ditafsir sebagai pengurangan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat, terutama golongan B40 dan kelas menengah,” katanya.

Sehubungan itu, Awang berpandangan penjimatan hanya wajar melalui peningkatan kecekapan tanpa menjejaskan perkhidmatan asas, manakala reformasi struktur sistem penyampaian perlu menjadi keutamaan berbanding pemotongan peruntukan semata-mata.

Kesihatan hak asasi rakyat

Sementara itu -, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu Nadason pula berkata perbelanjaan kesihatan tidak wajar dikurangkan kerana ia merupakan keperluan asas rakyat.

“Apa pun keadaan, kerajaan tidak boleh potong atau kurangkan perbelanjaan terhadap kos kesihatan rakyat. Kalau mahu berjimat, boleh lihat kementerian lain tetapi kesihatan jangan sentuh,” katanya.

Marimuthu berkata sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam perlu dilindungi kerana ia tunjang kesejahteraan rakyat dan ekonommi negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Thirunavukarasu Rajoo berkata pemotongan KKM berlaku ketika sistem kesihatan berada di bawah tekanan serius.

Menurutnya, pelarasan bajet tidak wajar melibatkan ubat-ubatan, fasiliti dan tenaga kerja.

“Perkhidmatan kesihatan awam menampung kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia. Ia bukan sektor untuk penjimatan, tetapi pelaburan,” katanya.

Dua pakar kesihatan awam, Dr Zarihah Zain dan Dr Zainal Ariffin Omar dalam satu kenyataan bersama berkata pemotongan perbelanjaan tidak bersasar boleh meningkatkan kos jangka panjang.

Mereka berkata penjagaan primer, kecemasan dan kawalan penyakit tidak sewajarnya disentuh dalam pelarasan bajet.

Mereka turut memberi amaran warga emas antara golongan paling terkesan jika perkhidmatan asas terganggu.

“Pemotongan yang salah akan menyebabkan rakyat menjadi lebih sakit dan akhirnya meningkatkan beban ke atas hospital serta isi rumah,” kata mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan pula berpendapat penjimatan perlu dilakukan secara bersasar tanpa menjejaskan perkhidmatan asas.

“Pembelian atau perbelanjaan yang tidak kritikal boleh dipotong dulu. Kesihatan ini kritikal. Kerajaan juga perlu teliti semula perbelanjaan penyelidikan dan projek yang benar-benar perlu dipotong,” katanya.

Kementerian Kewangan baru-baru ini mengeluarkan garis panduan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan supaya menyusun semula perbelanjaan mengurus susulan cadangan penjimatan RM10 bilion dalam Belanjawan 2026.

Langkah itu dibuat berikutan tekanan fiskal negara termasuk peningkatan kos subsidi akibat ketidaktentuan global dan lonjakan harga tenaga.

Terdahulu, Reuters melaporkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican mengeluarkan arahan supaya kementerian dan agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan mengurus masing-masing.

Dia dilaporkan berkata lonjakan mendadak kos tenaga akibat konflik di Asia Barat menyebabkan bil subsidi kerajaan dijangka mencecah RM58.4 bilion tahun ini, berbanding RM15 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan asal.

Sehubungan itu, Johan berkata semua kementerian, jabatan dan agensi perlu menilai semula perbelanjaan mengurus bagi tahun ini dan mengemukakan cadangan pemotongan perbelanjaan sebelum 15 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS