Usaha menyalurkan bantuan kebajikan dan sokongan kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 diteruskan kali ini dengan mengambil kira keperluan bersesuaian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan memaklumkan perkara itu berdasarkan beberapa siri perbincangan dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Sani Araby Abdul Alim Araby bagi menilai keperluan serta kesesuaian bantuan yang diperlukan.
“Kerajaan dan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) memberikan sokongan penuh kepada program GSF dan pada pelaksanaan sebelum ini, kerajaan telah menyalurkan sokongan serta bantuan (kepada ahli keluarga mereka terlibat).
“Usaha itu diteruskan dengan mengambil kira keperluan yang bersesuaian. Insya-Allah, kita akan membantu sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah bina baru Program Sinar Lestari Yapeim-Yayasan Diraja Sultan Mizan di Kampung Tok Dor Dalam, Jertih hari ini.
Zulkifli berkata keutamaan kerajaan ialah memastikan setiap bentuk bantuan disalurkan benar-benar memenuhi keperluan sukarelawan serta keluarga mereka.
Pada masa sama, dia berkata kerajaan sentiasa bersedia membantu dari segi kebajikan dan kewangan, dengan menilai secara menyeluruh setiap aspek termasuk potensi pelaksanaan agar bantuan lebih teratur, berkesan dan menepati sasaran.
Sebelum ini, SNCC mengesahkan 10 rakyat Malaysia adalah antara 186 aktivis yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece semasa dalam pelayaran ke Gaza.
Pada Jumaat lepas, SNCC mengesahkan mereka dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Crete.
Mereka ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah, Muhamad Muhsin Zaidi dan Mohd Shamsir Mohd Isa.
Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
- Bernama
