Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran beri amaran akan serang jika tentera AS memasuki Selat Hormuz
Diterbitkan:  May 4, 2026 5:31 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Tentera Iran memberi amaran pada Isnin bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) akan diserang jika mereka memasuki Selat Hormuz.

Ia susulan Presiden AS, Donald Trump, yang mengumumkan Washington akan mula mengiringi kapal-kapal untuk melalui selat yang sedang disekat itu, lapor AFP.

Rundingan antara kedua-dua negara menemui jalan buntu sejak gencatan senjata dalam perang AS-Israel menentang Iran berkuat kuasa pada 8 April, dengan tindakan Iran menyekat selat itu menjadi punca utama pertikaian.

Trump berkata pada Ahad bahawa operasi maritim baharu yang dinamakan sebagai "Project Freedom" itu adalah langkah "kemanusiaan" untuk anak kapal di atas kapal-kapal yang terperangkap dalam sekatan yang mungkin kekurangan bekalan makanan dan barangan lain.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kapal dan kru mereka keluar dari selat itu dengan selamat.

"Dalam semua keadaan, mereka menyatakan tidak akan kembali sehingga kawasan itu selamat untuk pelayaran," katanya dalam satu hantaran melalui Truth Social sambil memaklumkan bahawa operasi itu akan bermula hari ini.

Namun dalam tindak balas terhadap kenyataan Trump itu, markas pemerintah pusat tentera Iran menegaskan sebarang rentasan selamat melalui Selat Hormuz mesti diselaraskan dengan tenteranya "dalam semua keadaan".

"Kami memberi amaran bahawa mana-mana pasukan bersenjata asing - terutama tentera AS yang agresif - sekiranya mereka berhasrat untuk menghampiri atau memasuki Selat Hormuz, akan disasarkan serta diserang," kata Mejar Jeneral Ali Abdollahi dalam satu kenyataan disiarkan penyiar IRIB.

Dengan menyekat Selat Hormuz, Iran menghalang aliran utama minyak, gas dan baja ke ekonomi dunia, manakala AS mengenakan sekatan balas ke atas pelabuhan Iran.

Trump dalam hantarannya berkata dia "sedar sepenuhnya bahawa wakil saya sedang mengadakan perbincangan yang sangat positif dengan negara Iran, dan perbincangan ini boleh membawa kepada sesuatu yang sangat positif untuk semua."

Namun dia tidak menyebut secara langsung pelan 14 perkara yang menurut Tehran dikemukakan minggu lalu untuk menamatkan perang.

Perintah Pusat AS berkata ia akan menggunakan kapal pemusnah peluru berpandu, lebih 100 pesawat berpangkalan di darat dan laut, platform tanpa pemandu pelbagai domain serta 15,000 anggota perkhidmatan dalam usaha membuka Selt Hormuz tersebut.

Setakat 29 April, lebih 900 kapal komersial berada di Teluk, menurut firma risikan maritim AXSMarine.

'Operasi yang mustahil'

Laman web berita AS Axios, memetik dua sumber yang diberi taklimat mengenai cadangan Iran, melaporkan bahawa Tehran menetapkan "tempoh sebulan untuk rundingan mengenai perjanjian bagi membuka semula selat itu", menarik balik sekatan laut AS dan menamatkan perang.

Pada Ahad, Pengawal Revolusi cuba meletakkan tanggungjawab semula kepada Trump, dengan mengatakan dia mesti memilih antara "operasi yang mustahil atau perjanjian buruk dengan Republik Islam Iran".

AFP juga melaporkan sekutu Eropah Washington bimbang semakin lama selat itu ditutup, semakin teruk ekonomi mereka akan terjejas, dengan Menteri Luar Jerman Johann Wadephul menuntut supaya ia dibuka semula.

Abbas Araghchi

Dalam panggilan dengan rakan sejawatannya dari Iran Abbas Araghchi, Wadephul menegaskan bahawa Jerman menyokong penyelesaian rundingan tetapi "Iran mesti melepaskan senjata nuklear secara menyeluruh serta membuka Selat Hormuz dengan segera".

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang cuba menyelaraskan misi pasca perang ke atas selat itu bersama Britain dan gabungan antarabangsa, menyeru "pembukaan semula yang diselaraskan oleh AS dan Iran".

"Itu adalah satu-satunya penyelesaian untuk pembukaan semula", katanya.

Harga minyak kini berada pada kira-kira 50 peratus di atas paras sebelum konflik, sebahagian besarnya disebabkan oleh gangguan bekalan di selat tersebut.

'Mematikan rejim'

Presiden AS, yang menghabiskan hujung minggu di pusat peranginan Mar-a-Lago miliknya di Florida, enggan menyatakan pada Ahad apa yang boleh mencetuskan tindakan tentera AS yang baharu.

Namun dalam hantarannya ,dia berkata bahawa "jika dalam apa cara sekalipun, proses kemanusiaan (mengiring kapal) ini diganggu, gangguan tersebut, malangnya, perlu ditangani dengan kekerasan".

Donald Trump

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata sekatan laut AS hanyalah sebahagian daripada embargo ekonomi yang lebih luas.

"Kami sedang mematikan rejim tersebut, dan mereka tidak mampu membayar gaji askar mereka," katanya kepada Fox News.

"Ini adalah sekatan ekonomi yang sebenar, dan ia melibatkan semua seluruh kerajaan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS