Paling Popular
Terkini

ULASAN SUKAN | Komuniti badminton kita yang memasang impian besar kembali menggigit jari selepas berdepan realiti apabila saingan Piala Thomas berakhir dengan nota pilu di Horsens, Denmark, pada Ahad lalu.

Penulis pun tidak perlu memanjangkan lagi cerita duka itu kerana peminat dan pengkritik lebih bijak menilai prestasi skuad lelaki negara berpandu keputusan perlawanan.

Statistik tidak menipu.

Hadir dengan impian besar mahu mengintai peluang kejuaraan, keringat dicurahkan oleh skuad lelaki kita hanya mampu layak ke suku akhir sebelum tewas mudah 0-3 kepada juara bertahan, China.

Tidak dinafikan juga, sifat cemburu timbul dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan apabila melihat Perancis gah muncul ‘kuasa baru badminton’ selepas layak ke final buat julung kali dalam sejarah penyertaan mereka.

Janganlah pula satu hari nanti kita melihat saja satu persatu negara – termasuk Perancis – memintas kita sebagai kuasa besar Piala Thomas.

Pengajaran di sini ialah, program pembangunan remaja jangan sekadar bercakap-cakap saja tapi perlu lebih serius dalam pelaksanaannya.

Jika ada mutiara baru lahir, jangan tunggu lama untuk mendedahkan mereka kepada permainan tahap tertinggi. Tidak perlu tunggu ‘abang-abang’ mereka meniti kemerosotan prestasi, barulah bakat baru kita dipanggil.

Kalau ada pemain remaja yang tunjuk sifat matang dan mendekati prestasi pemain senior pada sekitar usia 19 tahun, kita perlu berani memberi mereka peluang untuk aksi Piala Thomas, umpamanya.

Jika pencapaian anak muda itu tekal di pentas antarabangsa sepanjang tempoh 12 bulan sebelum Piala Thomas bermula, kenapa tidak dipilih?

Kesinambungan pemain terbaik perlu sentiasa ada dalam pasukan. Bukan kita bermaksud tiada elemen itu pada ketika ini dan juga dulu. Cuma kita banyak bergantung kepada pemain bintang jika mereka kerap berjaya memenangi kejuaraan utama.

Kita dapat melihat juga ada kalanya pihak pengurusan atau pun supremo dalam badminton negara lebih mengutamakan pemain senior untuk memberi sumbangan kepada skuad negara walaupun kemampuan mereka sedang merosot.

Wanita jadi penawar duka

Apa pun, sedikit penawar duka dapat dibawa pulang adalah pencapaian memberangsangkan skuad Piala Uber kita pada edisi kali ini.

Mereka berjuang habis-habisan walaupun kekurangan dari segi pengalaman. Habuannya, kita membuat kejutan layak ke suku akhir buat pertama kali sejak 16 tahun lalu.

Skuad wanita diketuai M Thinaah memberi isyarat bahawa kelompok anak muda terbabit menunjukkan kemajuan memberangsagnkan dan mampu bangkit lebih garang pada edisi 2028 di Jakarta nanti.

Babak di Horsens turut menceritakan bahawa skuad wanita tidak boleh lagi bergantung secara berterusan kepada sumbangan gandingan Pearly Tan-Thinaah.

Buktinya skuad wanita muda kita sudah menunjukkan jalan ke arah kemajuan pada saat ini.

Difahamkan, purata usia skuad Piala Uber ialah 20.8 tahun dengan bekalan pemain seperti Low Zi Yu (15 tahun), Noraqilah Maisarah Ramdan (19), Ong Xin Yee (19) dan Carmen Ting (19).

Pujian juga harus diberikan kepada pemain perseorangan nombor satu negara, K Letshanaa, dan Wong Chi Ling. Kedua-dua pemain itu turut menunjukkan tahap kemajuan memberangsangkan dan sudah berani berdepan pemain tersohor dunia seperti China dan Korea Selatan.

Jadikan detik itu sebagai permulaan penting kepada kebangkitan skuad wanita kita.

Jangan abaikan mereka ketika bakat dan kesungguhan ditunjukkan sekarang makin membara.

Beban harus dipikul bersama

Menyedihkan, skrip pada skuad lelaki pula tidak banyak berubah. Pencapaian masih sama, kemampuan pemain juga sama, begitu juga keputusan dicapai. Ringkasnya kita menanggung kegagalan gara-gara kurang perwatakan garang dan tidak konsisten dalam permainan.

Namun, dari satu aspek, usahlah kita menyalahkan pemain saja. Mereka bergerak berpandukan sistem dan struktur yang sudah dilakar.

Kita juga tidak boleh menuding arah kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen, semata-mata sebagai faktor kegagalan. Ingat, dia juga mempunyai sentuhan ke atas kemajuan skuad wanita.

Beban itu harus sama-sama dipikul oleh keseluruhan jentera Persatuan Badminton Malaysia (BAM), termasuk pihak pengurusan, jurulatih dan pemain.

Secara berterus terang, lihat saja kepada keseimbangan dalam pasukan. Lebih tepat, lihat kepada kekuatan kita dalam acara perseorangan yang tidak memberi sebarang bayangan mampu untuk menang.

Cuma Lee Zii Jia saja berjaya mengutip setiap mata daripada tiga perlawanannya.

Mungkinkan kita menghantar barisan terburuk pernah kita saksikan pada alaf baru ini? Skuad lelaki sentiasa nampak longgar dan ‘kurang berselera’ di dalam gelanggang.

Buat kali pertama, pihak pengurusan mengharapkan acara beregu lelaki untuk membutirkan dua mata wajib pada setiap perlawanan.

Pada masa sama, kita lupa kepada tiga perlawanan dalam acara perseorangan yang sama penting fungsinya.

Pada cabaran kali ini, strategi kita mudah saja sebenarnya. Kita mengharapkan pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong Tee-Kai Wun atau Goh Sze Fei-Nur Izzuddin untuk mengutip dua mata wajib.

Ia memang suatu risiko besar yang diambil dalam situasi tertekan atau terdesak. Ia juga menceritakan aspek kualiti dalam skuad negara kita pada masa ini.

Anehnya, skuad kita juga tidak kekurangan dari segi sumber dan bantuan tambahan. Lihat saja kehadiran legenda badminton, Lee Chong Wei, Teo Seu Bock bersama K Yogendran dan Alwin Chew.

Itu bertujuan membantu Jonassen yang cuma berada di Malaysia kira-kira setahun lalu. Tempoh tersebut belum mencukupi untuk dia membentuk pemain perseorangan berstatus bintang atau pun digolongkan dalam 10 terbaik dunia dengan pantas.

Jadi, di manakah silapnya? Pemain kurang konsisten atau pun program pembangunan ala kadar saja. Atau, fokus hambar kepada sektor ini?

Dalam badminton negara, kita lebih kerap melontarkan banyak persoalan daripada mendapatkan jawapannya. Sabar sajalah.

Seperti diutarakan tadi, kegagalan di Piala Thomas adalah tanggungjawab semua di BAM, selain pihak Kementerian Belia dan Sukan.

Sebagai sukan nombor satu negara, badminton harus dijadikan agenda utama negara. Ia masih prospek besar untuk pingat emas pertama Sukan Olimpik.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS