Ahli perniagaan, Albert Tei, tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ia susulan pendedahan rakaman video memaparkan seorang ahli perniagaan, Sofia Rini Buyong, bercakap dengan individu lain yang dipercayai Tei sendiri, di mana dia mendakwa individu bernama “Anwar” mengarahkan seorang individu lain bernama “Farhash” mencuri wang untuk dihantar ke Afrika.
Dalam laporan polisnya, Tei berkata selepas dua minggu berlalu, sama ada Anwar atau Farhash sendiri tidak membuat laporan polis mahupun mengambil tindakan undang-undang seperti menyaman Sofia atas dakwaan fitnah tersebut.
"Jika tuduhan dibuat oleh Sofia Rini tidak mempunyai asas dan berniat jahat, bererti perbuatannya merupakan kesalahan fitnah di bawah kanun keseksaan (Akta 574).
"Apa yang agak pelik ialah Anwar selaku perdana menteri dan Farhash tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Sofia Rini sehingga hari ini, isu ini menimbulkan syak wasangka orang ramai," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.

Sebelum ini, Anwar ketika ditanya mengenai klip video tular itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Farhash diarahkan mencuri wang dan menyembunyikannya di Afrika.
Anwar turut meminta pihak media tidak melayan tuduhan tersebut serta menegaskan bahawa pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti.
Sofia pada tahun lalu turut menjadi perhatian selepas satu video memaparkan dirinya bercakap mengenai dakwaan rasuah melibatkan bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bersama Tei.
Susulan itu, Shamsul meletakkan jawatan sebagai pembantu Anwar untuk mempertahankan dirinya daripada dakwaan tersebut.
Shamsul dan Tei kemudiannya didakwa di mahkamah berkaitan skandal perlombongan berkenaan, manakala SPRM menamakan Sofia sebagai saksi pendakwaan.
