mk-logo
Berita
PH, Umno kekalkan kerjasama di N Sembilan
Diterbitkan:  May 5, 2026 8:32 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Umno mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, susulan perkembangan politik di negeri itu.

Menurut kenyataan bersama, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara kedua-dua gabungan yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Mei.

"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Gambar fail, pertemuan terdahulu antara Anwar dan Zahid.

Pemimpin PH dan BN hari ini mengadakan mesyuarat kira-kira sejam di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya. Ia diadakan selepas mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan oleh Anwar mesyuarat Majlis Presiden PH.

Mesyuarat yang bermula sekitar 5.15 petang itu berakhir kira-kira 6.20 petang, dengan tumpuan kepada isu politik semasa termasuk situasi di Negeri Sembilan.

Sumber dipetik Bernama berkata perbincangan turut menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya negeri Melaka dan Johor, serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS