KATA MP | Saya merujuk kepada jawapan Exco Pelancongan Kedah, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin yang cuba mempertahankan prestasi pelancongan Langkawi dengan menggunakan statistik 3.2 juta pelancong bagi tahun 2025.
Melihat kepada angka tersebut secara terasing mungkin nampak positif, namun apabila dibandingkan dengan pesaing serantau, ia mendedahkan satu realiti pahit: Langkawi kini sedang tewas dalam persaingan pelancongan Asean akibat kegagalan tadbir urus kerajaan negeri Kedah.
Kerajaan PAS Kedah tidak boleh menutup mata terhadap lonjakan mendadak jiran-jiran kita.
Mengikut sumber pelancongan antarabangsa, Phuket, Thailand mencatat sekurang-kurangnya 12.74 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga November 2025, dan dianggarkan melebihi 13 juta bagi keseluruhan tahun.

Ini hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding Langkawi, sekali gus membuktikan jurang daya saing yang semakin melebar.
Bali, Indonesia mencatat 33.56 juta pelancong pada tahun 2025 (Sumber: Badan Pusat Statistik Provinsi Bali).
Kadar peningkatan bilangan pelancong di Bali adalah sebanyak 17.16 juta orang daripada tahun 2024 ke 2025.
Kadar peningkatan bilangan pelancong di Phuket adalah sebanyak 4.35 juta orang daripada tahun 2024 ke 2025.

Di Langkawi pula, kadar peningkatan adalah hanya 311,101 orang daripada tahun 2024 ke 2025.
Apa yang lebih ironis, Langkawi menduduki tempat kedua (92.99 mata) dalam “Top Islands: Reader’s Choice Award 2025” oleh Condé Nast Traveler—jauh mengatasi Bali (ke-6) dan Phuket (ke-9).
Ini membuktikan dunia mengakui keindahan Langkawi, tetapi kepimpinan PAS Kedah gagal menterjemahkan anugerah tersebut kepada angka ketibaan pelancong yang sebenar.
Alasan YB Dato’ Mohd Salleh bahawa Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) adalah agensi Kerajaan Persekutuan adalah satu cubaan lepas tangan yang sangat lemah.

Langkawi terletak di bawah pentadbiran tanah negeri Kedah. Adakah kerajaan negeri hanya mahu mengutip hasil tanpa mahu bekerja untuk mempromosinya?
Daripada Menteri Besar, YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi, sibuk meluangkan masa berlakon dalam filem “The Keris”, mengapakah dia tidak menggunakan pengaruh tersebut untuk mempromosikan Langkawi secara agresif?
PAS jangan jadi ‘batu penghalang’
Jika dia benar-benar mahu menarik pelancong Muslim, tunjukkanlah kempen kreatif - pamerkan kepimpinan negeri dan ulama berkelah di pantai Langkawi dengan pakaian tradisi orang Kedah atau menyertai aktiviti pelancongan mesra keluarga Muslim.

Realitinya, mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tetapi tidak melakukan sebarang usaha promosi pelancongan untuk pulau ini.
Pelancongan adalah "industri tanpa asap" yang mampu memulihkan ekonomi rakyat dengan pantas. Contohnya, “Rain Rave Water Music Festival 2026” di Bukit Bintang berjaya menarik 180,000 penonton dan menjana pendapatan RM200 juta kepada peniaga tempatan.
Malangnya, pemimpin PAS lebih gemar membantah dan mengekang aktiviti ekonomi seperti ini atas alasan moral yang sempit.
Bayangkan jika impak ekonomi RM200 juta ini dibawa ke Langkawi? Ia pasti akan merancakkan hotel, kedai makan, dan perkhidmatan teksi di Pulau Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, banyak turun padang untuk mempromosikan pelancongan di Malaysia, seperti di Rain Rave Water Music Festival, tetapi Menteri Besar Kedah dan kepimpinan Kedah tidak mempromosikan pelancongan di negeri mereka sendiri.
Saya menyeru PAS agar berhenti "menjaga tepi kain orang" atau sibuk dengan agenda moral di negeri orang lain. Fokuslah kepada strategi merancakkan ekonomi di negeri tadbiran sendiri.
Langkawi adalah aset negara, jangan biarkan ia layu hanya kerana ketidakmampuan kerajaan negeri Kedah untuk berfikir secara global dan progresif.
TERESA KOK Ahli Parlimen Seputih.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
