Persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membangkitkan kebimbangan mereka terhadap kesan krisis pentadbiran dan pergolakan keluarga diraja yang berterusan di Negeri Sembilan.
Menegaskan perlunya persekitaran yang stabil di negeri itu, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, menggesa agar konflik tersebut ditangani melalui saluran institusi yang betul dan sah.
“Sebagai sebuah organisasi yang tidak berpolitik dan fokus pada industri, Persatuan PKS Malaysia tidak mengambil pendirian mengenai perkara politik atau campur tangan dalam proses perlembagaan.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa ketidakpastian yang berpanjangan - tanpa mengira puncanya - akan membawa akibat ekonomi besar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Chin menambah, dari sudut ekonomi, ketidakstabilan sedemikian akan mempengaruhi keputusan pelaburan, rancangan pengembangan perniagaan, komitmen pengambilan pekerja dan tenaga kerja, serta kestabilan aliran tunai dan sentimen keseluruhan.
Katanya PKS berfungsi sebagai barometer masa nyata keadaan ekonomi.

Apabila sektor tersebut menjadi perlahan, katanya, ia memberikan petanda bahawa momentum ekonomi semakin lemah.
Jika sebaliknya meyakinkan, tambah Chin, ia sedang mencerminkan kestabilan dan kepercayaan.
“Ini menjadikan sentimen PKS sebagai penunjuk kritikal untuk dasar dan hala tuju ekonomi yang mendesak,” tambahnya.
Malam tadi, pemimpin tertinggi BN dan PH mengadakan pertemuan susulan kemelut yang masih membayangi Negeri Sembilan.
Di sebalik apa yang berlaku kedua-dua pihak memutuskan untuk meneruskan kerjasama yang terjalin selama ini dan mempertahankan kerajaan perpaduan di negeri tersebut.
Pada 27 April lalu 14 Adun Umno membuat keputusan menarik sokongan mereka kepada Aminuddin Harun selaku menteri besar atas alasan terkait dengan konflik dalam kalangan keluarga diraja.
Ada bukti yang ketara
Pertikaian itu kini bertukar menjadi isu perundangan selepas empat undang yang ada di Negeri Sembilan membawa persoalan berkenaan ke mahkamah.
Menurut Chin tekanan yang semakin meningkat untuk kos bahan api dan tenaga juga memberi kesan kepada perkembangan PKS.
Persatuan itu juga memberi amaran, kesan sampingan daripada krisis di Negeri Sembilan boleh menjejaskan sektor pekerjaan dan permintaan domestik dengan tindak balas yang terselaras di seluruh negara diperlukan.
Keutamaan, katanya, harus diletakkan pada menstabilkan persekitaran operasi untuk perniagaan, memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi dan pekerjaan, serta penyampaian langkah sokongan yang tepat pada masanya, praktikal dan disasarkan.
“Maklum balas daripada PKS adalah jelas: tekanan berlaku serta-merta, dan peluang untuk campur tangan awal semakin sempit.
“Ini bukan lagi semata-mata isu kos sebaliknya cabaran kecairan, keyakinan dan kemampanan.
"Intervensi awal akan membantu mengurangkan akibat ekonomi yang lebih mendalam," tambahnya.

Chin juga merujuk dapatan daripada tinjauan seluruh negara pada bulan lalu yang menunjukkan 70 peratus PKS "terjejas dengan ketara" oleh peningkatan kos berkaitan bahan api dan tenaga.
Katanya tiada sektor yang melaporkan tidak terjejas dengan apa yang berlaku ketika ini.
Selain itu, katanya, lebih 80 peratus PKS mengalami peningkatan kos dua digit - dengan kebanyakannya melebihi 20 peratus - manakala 45 peratus pula menjangkakan cabaran aliran tunai yang serius dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
Petunjuk itu, kata Chin, menunjukkan perubahan kritikal apabila tekanan kos berkembang pesat menjadi risiko kecairan dan kemampanan perniagaan.
Katanya kesan peningkatan kos tenaga merebak merentasi ekosistem PKS melalui pelbagai cara, termasuk kos logistik dan pengangkutan yang lebih tinggi, pelarasan harga pembekal huluan, peningkatan perbelanjaan operasi dan pematuhan, dan permintaan pengguna yang semakin lemah yang didorong oleh inflasi.
"Terdapat juga bukti yang semakin meningkat tentang gangguan rantaian bekalan, kelewatan penghantaran, fleksibiliti harga yang berkurangan, dan kuasa beli yang merosot,” katanya.
Dengan berhujah bahawa intervensi yang disasarkan, terikat masa, dan dipacu pelaksanaan adalah penting dalam situasi semasa, dia mengemukakan beberapa cadangan daripada persatuan itu.
Antaranya, kata Chin, mewujudkan mekanisme mitigasi kos bahan api yang disasarkan segera untuk PKS dan penstabilan tarif elektrik jangka pendek dalam sektor yang terjejas.
Selain langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan logistik, mengurus tekanan kos, dan memperkukuh daya tahan sumber tempatan, persatuan itu juga menggesa agar pembayaran komitmen kerajaan sedia ada dipercepatkan, termasuk bayaran balik cukai dan geran.
