Kerajaan Negeri Sembilan setakat ini masih belum memuktamadkan pengganti bagi empat jawatan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang dikosongkan oleh wakil Umno.
Langkah itu diambil susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, baru-baru ini.
Menteri Besar Aminuddin Harun menjelaskan bahawa buat masa ini, segala portfolio yang ditinggalkan akan dipangku oleh enam exco PH yang sedia ada.
"Jawatan exco yang kosong buat masa ini belum ada keputusan (pengganti), cuma perkara-perkara yang ada mesyuarat atau tugasan tertentu di lapangan atau di luar kawasan akan diganti atau dilakukan oleh exco sedia ada.
"Kita sedang senaraikan tugasan-tugasan tersebut dan insya-Allah dari semasa ke semasa ia akan dibincangkan dengan ahli mesyuarat yang lain.
"Dalam hal ini (pelantikan exco baharu) kena ambil masa sedikit," katanya yang dipetik Berita Harian pada sidang media di Seremban selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri, hari ini.
Tiada perhubungan dengan Adun Umno
Kekosongan jawatan tersebut melibatkan Adun Pertang, Jalaluddin Alias; Adun Senaling, Ismail Lasim; Adun Palong, Mustapha Nagoor; dan Adun Linggi, Mohd Faizal Ramli.
Antara portfolio yang terkesan termasuklah Kemajuan Desa, Pertanian, Pendidikan, Pembangunan Belia, serta Teknologi dan Inovasi.
Dalam pada itu, Aminuddin turut memaklumkan bahawa dia belum menerima sebarang maklum balas atau dihubungi oleh mana-mana Adun Umno selepas mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung semalam.
Menyentuh mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditangguhkan sebelum ini, Pengerusi PH negeri itu berkata tarikh baharu bagi persidangan berkenaan masih belum ditetapkan.
Jelasnya, kerajaan negeri sedang dalam proses meneliti beberapa dokumen penting serta Rang Undang-Undang (RUU) yang dijadualkan untuk pembentangan akan datang.
"Kemungkinan (sidang DUN) akan dibuat sekali dengan pembentangan belanjawan negeri," tambah beliau.
