Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN FILEM | Kelemahan naratif dalam Tarung: Unforgiven

Naratif merupakan tunjang utama dalam sesebuah filem kerana ia menggerakkan cerita melalui kronologi peristiwa yang berasaskan hubungan antara sebab dan akibat. Dalam konteks ini, filem Tarung: Unforgiven menggunakan naratif linear, iaitu penceritaan yang disusun mengikut urutan masa secara konvensional.

Namun, kelemahan paling ketara filem ini terletak pada pelaksanaan naratif itu sendiri. Walaupun struktur plot disusun secara kronologi, jalan ceritanya terlalu lurus, tidak berkembang secara dinamik dan mudah dijangka.

Struktur plot yang sepatutnya berfungsi untuk memastikan rentak cerita kekal menarik dan membina klimaks yang kuat turut dilihat sukar dicapai.

Selain itu, tiada lapisan konflik yang cukup kompleks untuk membina ketegangan yang berbekas kepada penonton kerana konflik asas yang berpotensi untuk membentuk kesatuan naratif yang kuat tidak dikembangkan secara lebih mendalam.

Titik klimaks yang seharusnya mencetuskan debaran, tekanan emosi dan kejutan kurang dirasai - menjadikan keseluruhan penceritaan terasa mendatar.

Dialog juga tidak membantu dalam memperkukuh penceritaan. Kebanyakannya tidak meninggalkan kesan, sekali gus melemahkan penyampaian emosi dalam beberapa babak penting.

Filem Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid mengisahkan tentang Hatta, seorang bekas juara silat yang dihantui kisah silam selepas satu tragedi. Dalam usaha menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa menerima tawaran untuk bertarung di gelanggang haram yang dikendalikan oleh Paduka Badrul.

Namun, perjalanan itu menemukan semula Hatta dengan Isa, sahabat lamanya yang kini menjadi musuh kerana dendam yang masih terikat. Konflik antara mereka menjadi teras kepada penceritaan, memperlihatkan pertembungan antara masa lalu dan pilihan hidup di masa kini.

Tagline “kau cuma ayam sabung” membawa maksud yang lebih luas daripada sekadar pertarungan fizikal. Ia menggambarkan kehidupan manusia yang sentiasa bergelut dengan cabaran, tekanan dan kesilapan diri sendiri.

Keseimbangan antara aksi dan emosi

Walaupun filem Tarung: Unforgiven mempunyai kelemahan dari sudut naratif, filem ini tetap mempunyai kekuatan pada aspek aksi dan visual yang dipersembahkan. Babak pertarungan ditunjukkan secara realistik, tidak berlebihan dan disusun dengan koreografi yang kemas.

Sinematografi pula membantu dalam menghidupkan setiap adegan dengan lebih jelas dan teratur. Pergerakan kamera dan komposisi visual menjadikan setiap pertarungan memberi impak kepada penonton.

Selain itu, elemen emosi—khususnya hubungan persahabatan antara watak menjadi antara kekuatan utama filem ini. Hubungan antara watak dibina dengan cukup baik sehingga mampu menyentuh perasaan penonton, walaupun tidak disokong sepenuhnya oleh struktur naratif yang kuat.

Pengarah dan penulis skrip, Razaisyam Rashid menjelaskan bahawa pendekatan filem ini berbeza daripada kebiasaan filem aksi. Menurutnya, Tarung: Unforgiven cuba mencapai keseimbangan antara intensiti pertarungan dan emosi.

“Kita biasanya melihat filem aksi yang intens. Namun dalam filem ini, tahap intensitinya tetap tinggi namun emosinya juga kuat, dan ia boleh dikatakan seimbang. Maka jarang untuk kita dapat lihat filem aksi yang seimbang sebegini,” katanya kepada Malaysiakini semasa tayangan perdana filem Tarung: Unforgiven di GSC Midvalley, Kuala Lumpur, semalam.

Pengarah filem Kahar: Kapla High Council itu turut menegaskan bahawa filem ini bukan hanya untuk penonton yang mahukan aksi, tetapi juga untuk mereka yang ingin melihat kisah persahabatan, kekeluargaan dan percintaan dalam satu filem aksi.

Mengulas lanjut tentang elemen persahabatan yang dipersembahkan, dia menyifatkan filem ini sebagai gambaran hubungan yang terputus—seolah-olah satu bentuk penghargaan atau “surat” kepada sahabat yang semakin jauh sama ada kerana keadaan atau masa.

“Filem ini sebenarnya adalah sebuah love letter untuk rakan yang hilang—bukan dalam erti kata sudah meninggal, tetapi lebih kepada perpisahan. Kadang-kadang kita semua berpisah dan ada masa kita ingin meminta maaf kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup kita,” katanya.

Penerbit dan pelakon Tarung: Unforgiven, Aedy Ashraf pula menekankan bahawa setiap aksi dalam filem ini lahir daripada konflik dalaman yang dirasai oleh watak Hatta dan Isa. Menurutnya, pergaduhan yang berlaku berpunca daripada kesilapan lalu, dendam dan rasa bersalah yang masih menghantui.

Aedy turut menjelaskan bahawa filem ini membawa tema tentang kepentingan memaafkan — baik diri sendiri mahupun orang lain. Tanpa memaafkan, seseorang akan terus dibayangi oleh masa lalu. Pendekatan ini menjadikan setiap pertarungan dalam filem terbitan pertamanya itu mempunyai makna tersendiri.

“Saya merasakan ramai orang di luar sana melupakan kesilapan yang pernah mereka lakukan dahulu. Sedangkan sebenarnya, kita perlu belajar untuk memaafkan diri sendiri terhadap kesilapan lama itu. Begitu juga dengan orang lain, kita perlu menyelesaikan perkara itu. Jika tidak, pada akhirnya ia akan terus menghantui kita.

“Jadi pada saya, perjalanan untuk memaafkan diri sendiri atau memaafkan kawan kita sendiri – seseorang yang kita sayang, adalah sesuatu yang sangat sukar. Tetapi ia tetap perlu dilakukan,” kata pemenang trofi Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu kepada Malaysiakini.

Selain itu, Aedy juga menegaskan bahawa filem ini mempunyai identiti tersendiri kerana tidak bergantung kepada elemen biasa filem aksi seperti penggunaan senjata api, letupan atau gangsterisme berlebihan. Sebaliknya, fokus diberikan kepada pertarungan fizikal dan emosi.

“Saya percaya filem ini berada dalam kategorinya yang tersendiri. Kita tidak ada aksi tembak menembak, letupan, dan tidak sarat dengan unsur gangsterisme. Pada saya, filem aksi tidak semestinya perlu bergantung kepada elemen-elemen itu,”

“Secara luaran filem ini kelihatan seperti pertarungan fizikal, tetapi wujud konflik yang jauh lebih mendalam. Ia adalah pertarungan antara watak dengan masa silam mereka sendiri, dengan kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan dan itulah pertarungan yang saya rasakan paling bermakna.” katanya.

Filem terbaru terbitan Alpha 47 itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Lebih menarik, bintang bertaraf antarabangsa, Bront Palarae buat pertama kalinya digandingkan dengan pelakon hebat, Zul Ariffin. sekali gus menjadikan gabungan ini sebagai antara elemen yang paling dinantikan oleh penonton.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS