Cadangan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menggunakan pendekatan “di luar kotak” bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang menuntut perubahan lebih mendasar, termasuk keberanian meninggalkan formula politik sedia ada serta memberi fokus kepada pengundi muda.
Penganalisis politik berpendapat strategi itu bukan sekadar melibatkan kaedah komunikasi, tetapi memerlukan anjakan dari segi kandungan, pendekatan serta struktur parti.
Menurut Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, bagaimanapun mengingatkan ketika pilihan tersebut boleh menjadi faktor yang menguntungkan Umno, pada masa sama ia juga membawa risiko.
“Pilihan luar kotak untuk Ahmad Zahid dan Umno menjelang PRU akan datang sebenarnya berkisar pada keberanian keluar daripada formula lama BN-PH atau status quo.
“Pertama, tetapkan semula kedudukan (reset positioning) Umno sebagai parti kingmaker fleksibel, bukan terikat kekal dengan PH atau kembali sepenuhnya ke PN, tetapi bermain peranan penentu pasca-PRU,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahli akademik itu berkata, pendekatan tersebut memang memberi kelebihan dari segi rundingan kuasa, namun pada masa sama berisiko menjejaskan persepsi konsistensi parti di mata pengundi.

Selain itu, Sivamurugan mencadangkan model “pertandingan selektif dan pakatan strategik” diambil dengan Umno bertanding di kerusi yang memang kuat untuk mereka secara tradisi dan pada masa sama menjalinkan kerjasama taktikal secara tidak rasmi di kawasan marginal.
Pendekatan tersebut, katanya, boleh memaksimumkan potensi kemenangan kepada Umno.
“Umno juga perlu melakukan penjenamaan semula sebagai parti Melayu inklusif moden dengan memberi fokus kepada isu kos sara hidup, pekerjaan dan tadbir urus bersih, khususnya untuk menarik pengundi muda dan bandar,” katanya.
Dia berkata demikinan ketika diminta mengulas apa pilihan “luar kotak” yang ada untuk Umno bagi menghadapi PRU ke-16 yang dijangka akan dilangsungkan pada tahun ini.
Umno ada banyak pilihan
Idea tersebut dinyatakan Ahmad Zahid dalam temu bual khas sempena sambutan ulang tahun ke-80 Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dia yang juga timbalan perdana menteri berkata pendekatan itu akan turut melibatkan aspek komunikasi bukan lisan bagi menarik sokongan pengundi muda yang kini merupakan kumpulan majoriti dalam landskap politik negara.
Kata Ahmad Zahid kelompok pengundi 18 tahun bersifat lebih terbuka dan tidak lagi terikat kepada kesetiaan terhadap sesebuah parti.
Mengulas lanjut, Sivamurgan turut mengingatkan Umno untuk memberi penekanan kepada usaha mengetengahkan pemimpin muda sebagai barisan hadapan kempen mereka.
Cadangan itu, katanya, bukanlah bermakna Umno perlu mengetepikan Ahmad Zahid sebaliknya mengekalkan Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut sebagai watak dalam pengaturan strategi parti.

“Umno tak kekurangan pilihan, yang mahu dibawa Zahid ialah keberanian untuk ambil risiko politik yang boleh mengubah naratif lama mereka,” tambahnya.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan, pula berkata pendekatan luar kotak yang dimaksudkan Ahmad Zahid perlu lebih tertumpu kepada kandungan mesej, bukan semata-mata cara penyampaian.
Menurutnya, naratif lama mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan tidak lagi mencukupi untuk menarik sokongan generasi muda kepada Umno.

“Memang betul Umno memperjuangkan kemerdekaan negara dan perkara ini memang menjadi perhatian kepada pengundi, cuma bukan pengundi muda.
“Anak muda mahukan kandungan (idea) luar kotak itu adalah sesuatu yang bersifat masa kini.
"Apa yang Umno boleh lakukan sekarang ialah menggunakan contoh-contoh isu semasa yang paling dekat di hati mereka dan bagaimana Umno boleh diharapkan.
“Anak muda mahu lihat apa yang Umno boleh lakukan sekarang, bukan 60 atau 70 tahun lalu. Kandungan (kempen) perlu berasaskan isu semasa yang dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.
Menteri ‘tiga serangkai’
Justeru itu, Azmi mencadangkan Umno menonjolkan peranan menteri-menterinya dalam isu keselamatan dan kedaulatan negara, dengan mengambil contoh pendekatan yang digunakan kerajaan Indonesia dalam membina sentimen nasionalisme melalui isu semasa.
Sebagai contoh, kata Azmi, isu terkait kedaulatan dan keselamatan negara.
Walaupun ada yang menganggap ia jauh dari hati golongan pengundi muda, namun ia tetap sesuai dan 'menangkap' perhatian mereka.
“Umno boleh buktikan pada ketika ini menteri-menteri mereka - yang saya panggil menteri tiga serangkai iaitu Mohamad Hassan (Menteri Luar), Zambry Abdul Kadir (Menteri Pengajian Tinggi), Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) amat dipercayai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hal keselamatan dan isu kedaulatan negara.

“Jadi, pendekatan sedemikian perlu diambil dan kaedah sebegitu banyak dilakukan oleh pemerintah Indonesia yang menggunakan isu-isu semasa untuk menaikkan semangat.
"Selain meniupkan semangat nasionalisme kerajaan negara itu juga berjaya mencipta persepsi bahawa pemerintah sekarang boleh diharap dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan republik Indonesia,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Prof Madya Mazlan Ali, dari Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur pula berpandangan pendekatan luar kotak yang disebut Ahmad Zahid mungkin merujuk kepada strategi tidak konvensional yang berasaskan data dan kajian dalaman parti.
Katanya, Umno perlu mengakui bahawa parti itu kini ketinggalan dalam kalangan pengundi muda berbanding PH dan PN yang lebih berjaya menembusi segmen tersebut.
Bukan sekadar kata-kata
Hal itu kerana, tambah Mazlan, Umno lebih banyak didukung oleh pengundi yang lebih dewasa dan juga pengundi setempat.
“Umno perlu meluaskan segmen pengundi muda dan mungkin sebab itu Ahmad Zahid kata dia akan menggunakan strategi di luar kotak.
"Umno mencatur tindakan sebegitu berasaskan penemuan-penemuan yang telah mereka buat dan hari ini pengundi muda adalah kumpulan terbesar untuk PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin, menjelaskan pendekatan bukan lisan yang dimaksudkan Ahmad Zahid merujuk kepada usaha mendekati anak muda melangkaui sekadar ucapan, sebaliknya melibatkan pengalaman dan penglibatan.
Menurutnya, pendekatan itu termasuk penganjuran aktiviti sukan atau riadah, hobi seperti konvoi motosikal, serta forum intelektual yang membuka ruang kepada perbincangan terbuka.
Katanya, interaksi di platform media sosial seperti Threads, TikTok dan Instagram juga perlu diperkukuh bagi memastikan komunikasi lebih telus dan dekat dengan generasi muda.
“Penganjuran forum dan wacana ilmu juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan perbincangan yang lebih segar dan terbuka.
“Semua ini merupakan pendekatan luar kotak dan bukan lisan apabila mesej dan nilai parti disampaikan melalui pengalaman dan penglibatan, bukan sekadar kata-kata," katanya.
PRU ke 16-dijangka berlangsung pada tahun ini atau sekitar 2027 - sekiranya parlimen tidak dibubarkan lebih awal.
Mengikut peruntukan semasa, jika tiada pembubaran awal, penggal ke-15 Parlimen Malaysia akan berakhir pada 19 Dis 2027 beradasrakan kepada kali pertama ia bersidang pada 19 Dis 2022.
PRU pula mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, menjadikan tarikh akhir PRU ke-16 sekitar pertengahan 2028.
