Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor kongsi petikan mengenai rasuah dan ahli politik kaya
Diterbitkan:  May 7, 2026 10:43 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memetik kata-kata bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Harry S. Truman, dengan memberi peringatan terhadap ahli politik yang mengkayakan diri ketika berkuasa.

Menyorot hubungan antara politik dan kekayaan menerusi satu hantaran di Facebook Pejabat Diraja Selangor malam tadi, baginda menzahirkan minat terhadap petikan yang dikaitkan dengan presiden ke-33 AS itu.

Petikan pertama “No one can get rich in politics unless he’s a crook” yang boleh diterjemahkan sebagai “Tiada seorang pun mampu menjadi kaya melalui politik melainkan dia seorang penyeleweng.”

Baginda turut berkongsi petikan kedua yang berbunyi: If the wealthiest people in a society are its politicians, that society is fundamentally corrupt.” (Jika golongan paling kaya dalam sesebuah masyarakat terdiri daripada ahli politik, maka masyarakat itu pada asasnya telah dirosakkan oleh rasuah.)

Hantaran itu disertakan lagu latar Apokalips oleh M Nasir.

Walaupun Sultan Sharafuddin tidak memperincikan kepada siapa sindiran tajam itu ditujukan, Pejabat Diraja Selangor memaklumkan baginda mahu petikan yang dikongsikan itu dijadikan sebagai “renungan yang bermanfaat” kepada rakyat.

Semalam, Majlis Dewan Diraja Selangor menegaskan bahawa Sultan Sharafuddin amat menitikberatkan tindakan berkesan berbanding janji kosong dalam menangani masalah rakyat.

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata sebarang nasihat, teguran dan peringatan daripada sultan merupakan panduan penting daripada seorang pemerintah bagi memastikan pentadbiran negeri dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Majlis itu menambah bahawa istilah “titah” yang lazim digunakan oleh sultan ketika menyampaikan ucapan baginda sebenarnya hanya membawa maksud “nasihat” dalam bahasa harian, dan bukan bersamaan dengan perintah diraja.

Ia turut menegaskan bahawa menteri besar negeri secara perlembagaan wajib merujuk kepada sultan dalam perkara yang melibatkan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat, supaya baginda dimaklumkan mengenai perkembangan semasa serta dapat memberikan nasihat berpandukan kepentingan rakyat, bukannya pertimbangan politik.

Majlis itu berkata kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menolak pandangan pihak politik tertentu yang mendakwa titah diraja Sultan Sharafuddin ketika pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor bulan lalu telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan melanggar konsep raja berperlembagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS