Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat (AS) kini hampir mencapai perjanjian dengan Iran bagi menamatkan konflik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Trump memberitahu penyiar PBS bahawa “ia semakin hampir”, menurut transkrip temu bual telefon itu.
“Saya fikir peluang untuk ia berakhir sangat baik dan jika ia tidak berakhir, kami perlu kembali melakukan pengeboman,” tegas Trump.
Dalam temu bual itu, Trump turut mengesahkan beberapa perkara berkaitan potensi perjanjian yang sebelum ini dilaporkan oleh Wall Street Journal, CNN dan portal berita Axios.
Menurut laporan berkenaan, perjanjian itu menetapkan bahawa Iran perlu menyerahkan uranium diperkaya miliknya kepada AS.
Namun apabila ditanya sama ada bahan itu akan dibawa ke AS, Trump menjawab: “Tidak, itu bukan sebahagian daripada perjanjian.”
Trump mengesahkan bahawa sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Iran perlu memberi jaminan untuk tidak mengendalikan sebarang kemudahan nuklear bawah tanah.
Wall Street Journal melaporkan dengan memetik seorang pegawai Iran, bahawa moratorium jangka panjang terhadap pengayaan uranium Iran turut dirancang.
Di bawah satu cadangan, Iran mungkin dibenarkan semula memperkaya uranium kepada tahap ketulenan 3.67 peratus selepas itu. Namun menurut Trump, perkara berkenaan bukan sebahagian daripada perjanjian tersebut.
Menurut laporan itu, Washington dan Tehran sedang bekerjasama dengan pihak pengantara bagi merangka Memorandum Persefahaman satu halaman yang mengandungi 14 perkara.
Dokumen itu bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi rundingan yang pada peringkat awal berlangsung selama 30 hari serta menamatkan perang secara rasmi.
Perbincangan juga dilaporkan sedang dijalankan mengenai pelonggaran sekatan AS selain perjanjian berkaitan masa depan Selat Hormuz.
