Pembangkang menolak kenyataan bahawa kemiskinan tegar berjaya dinoktahkan di Selangor dan menyifatkan kerajaan negeri dan pusat mengalami sindrom penafian.
Ketua Pembangkang Selangor Azmin Ali berkata, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai pertambahan golongan fakir dan miskin membuktikan isu kemiskinan belum ditangani secara menyeluruh.
Menurutnya, data Lembaga Zakat Selangor tahun lalu menunjukkan terdapat pertambahan kira-kira 14,000 keluarga fakir dan miskin di Selangor.
“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan meneliti setiap laporan dengan lebih terperinci bagi menggubal perancangan dan langkah intervensi yang strategik.
“Kenyataan yang tidak tepat akan membentuk persepsi yang salah dalam masyarakat seterusnya menghasilkan sebuah perancangan yang tidak bertepatan dengan realiti semasa,” katanya yang juga bekas menteri besar Selangor.
Azmin berkata dia menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor yang disifatkan memberi pencerahan berhubung kaedah penentuan status asnaf menerusi pengiraan had kifayah (keperluan asas minimum) berdasarkan kos sara hidup semasa.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan sekiranya pembayar zakat beranggapan tiada lagi golongan fakir dan miskin di Selangor sehingga boleh menjejaskan kutipan zakat negeri.
Baginda bertitah masih terdapat pertambahan kelompok miskin baru di Selangor, walaupun terdapat dakwaan bahawa kemiskinan tegar di negeri itu telah dihapuskan sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, penentuan status asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah (keperluan asas minimum) yang mengambil kira kos sara hidup semasa.
Pada 29 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.
Laporan media bagaimanapun tidak menyebut sama ada Anwar menyatakan sebarang angka bagi mendukung kenyataannya itu.
Dalam kenyataan hari ini, Azmin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang turut memetik data Jabatan Perangkaan bagi membuktikan masih ramai rakyat Selangor hidup susah, termasuk menjadi miskin tegar.
Menurutnya, seramai 21,997 ketua isi rumah direkodkan berdaftar dalam sistem eKasih pada 2024 berbanding 17,485 pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan jumlah keluarga yang memerlukan bantuan.
Katanya, bilangan penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor juga masih tinggi iaitu seramai 59,731 orang pada tahun 2024.
“Adakah ini menunjukkan sudah tiada orang miskin di Selangor?” soalnya.
