Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa bidas 'hasad dengki' Pemuda PAS terhadap festival muzik, Tiong
Diterbitkan:  May 7, 2026 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membidas sikap Pemuda PAS Selangor yang didakwanya mempunyai sifat "hasad dengki" dan obsesi keterlaluan terhadap penganjuran festival muzik di ibu negara.

Dia berkata demikian ketika mempertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang terus menjadi sasaran serangan sayap pemuda itu berhubung penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, minggu lalu.

"Sikap 'hasad dengki' dan obsesi Pemuda PAS Selangor terhadap festival ini sangat menghairankan.

"Biar fakta berbicara: festival ini berjaya menarik 180,000 pengunjung dan menjana limpahan ekonomi sebanyak RM200 juta kepada peniaga tempatan.

“Ini adalah satu kejayaan besar untuk sektor pelancongan negara yang nampaknya gagal dihadam oleh logik politik PAS," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Persoal fokus Sanusi di Langkawi

Dalam kenyataan sama, Kok menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor sebagai "polis moral" yang tidak produktif dan mencabar mereka untuk memberikan perhatian kepada pemulihan imej Pulau Langkawi.

Dia mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menurutnya lebih berminat meluangkan masa dalam bidang seni berbanding mempromosikan destinasi pelancongan utama negara itu.

Muhammad Sanusi Md Nor

"Di mana pemimpin PAS ketika Langkawi memerlukan promosi agresif?

“Mengapa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi, lebih berminat meluangkan masa berlakon filem 'The Keris' daripada fokus memulihkan imej Langkawi yang semakin hambar di bawah pentadbiran beliau?" soalnya.

Kok turut menambah bahawa meskipun Langkawi diiktiraf di tempat kedua dalam "Top Islands: Reader’s Choice Award 2025" oleh Condé Nast Traveler, kepimpinan negeri gagal menterjemah pengiktirafan itu kepada jumlah ketibaan pelancong yang memberangsangkan.

Beliau menggesa Pemuda PAS Selangor untuk menghentikan "politik sempit" dan sebaliknya membuktikan keupayaan mereka dalam memacu ekonomi di negeri-negeri bawah tadbiran PAS (SG4) tanpa perlu meruntuhkan usaha pihak lain.

"Rakyat mahukan ekonomi yang rancak dan poket yang berisi, bukannya retorik kosong yang membunuh industri pelancongan negara," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS