Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir 'akui' gagal satukan Melayu, Hadi ajak Umno bermuhasabah
Diterbitkan:  May 7, 2026 4:55 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad hari ini membuat kenyataan sinis bahawa dia telah gagal dalam usahanya untuk menyatukan orang Melayu yang digerakkannya.

Katanya kegagalan tersebut akan menyebabkan negara ini terlepas daripada tangan orang Melayu, sekali gus menamatkan sejarah bangsa itu kerana didakwa lebih mengutamakan nasib pemimpin berbanding kepentingan negara dan agama

"Saya telah usaha lebih dari dua tahun untuk menyatu orang Melayu. Saya perlu akui saya gagal.

"Oleh itu negara tercinta ini akan terlepas dari tangan orang Melayu. Dan tamatlah sejarah orang Melayu kerana mereka lebih utama nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula menyeru Umno supaya kembali ke "pangkal jalan" dengan meninggalkan kerjasama politik sedia ada demi penyatuan ummah.

Kembali ke pangkal jalan

Dia menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu hanya boleh dicapai sekiranya parti-parti Melayu utama bersatu semula di bawah payung kerjasama Islam dan bangsa.

"Kita mengajak Umno untuk kembali semula ke pangkal jalan, kembali kepada semangat perpaduan ummah yang asal bagi menjamin masa depan politik orang Melayu," katanya menerusi Minda Presiden PAS bertajuk ‘Umno: Rumah yang dicabut paku lantai’, hari ini.

Sambil mengajak Umno bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan kerana didakwa tersalah memilih rakan dalam politik menerusi kerajaan Perpaduan, Abdul Hadi berkata, parti itu semakin lemah selepas memilih bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Apa dilakukan sekarang, Umno sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan.

"Tindakan ini melemahkan pegangan Umno kepada dasar perjuangannya laksana mencabut paku lantai Islam dan Melayunya supaya masuk angin dari bawah... sehingga menyebabkan Umno berpenyakit dan semakin lemah," katanya.

Menurut Abdul Hadi, PAS sentiasa membuka pintu rundingan kepada mana-mana pihak yang ingin memperkukuhkan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini.

Bau busuk dan percikan api

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Umno dalam kerajaan hari ini, Abdul Hadi menyamakan situasi tersebut dengan hadis mengenai "tukang besi", di mana seseorang itu akan terkesan dengan bau busuk atau percikan api jika tersalah memilih rakan.

Dakwanya, kegagalan Umno mempertahankan asas perjuangan mereka menyebabkan pihak lain kini lebih berani mencabar kedudukan Islam dan hak bumiputera secara terbuka.

"Apabila paku lantai dicabut, maka lantainya banyak yang terbuka lalu masuk angin dari bawah rumah yang berpenyakit dan menambahkan lagi kelemahan Umno.

"Ramai dalam kalangan Umno menjadi bisu terhadap gejala negatif dan kemungkaran kerana lemahnya semangat Islam dan Melayu mereka yang telah dihanyutkan oleh konsep liberal masyarakat majmuk," tambahnya.

Bimbang ‘dibunuh’ PAS

Abdul Hadi turut menolak alasan Umno bahawa mereka enggan bekerjasama dengan PAS selepas PRU15 kerana bimbang akan "dibunuh" oleh parti Islam tersebut.

Sebaliknya, dia menegaskan bahawa kerjasama PAS-Umno pada masa lalu, termasuk pada era 1970-an, terbukti berjaya memperkasakan agenda Islam.

Sehubungan itu, presiden PAS itu menggesa ahli dan kepimpinan Umno untuk melakukan muhasabah sebelum kuasa politik umat Islam terus lenyap.

"Umno sepatutnya melakukan muhasabah dan kembali ke pangkal jalan apabila tersalah.

"Akibatnya tidak boleh dibiarkan merebak kerana kuasa politik umat Islam sudah semakin melemah, apabila Umno memberi kuasa kepada banyak parti kecil bagi menubuhkan kerajaan campuran," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS