Kekeliruan orang ramai yang semakin menular mengenai aspek sejarah Malaysia harus dipersalahkan ke atas ahli akademik yang penakut, kata bekas menteri Khairy Jamaluddin.
Dalam satu sedutan daripada audio siar Keluar Sekejap, Khairy mengkritik profesor dan pakar sejarah negara kerana berdiam diri ketika maklumat salah mengenai masa lampau negara terus tersebar.
“Kepada tokoh sejarawan di Malaysia ini, apa guna awak jadi seorang pensyarah di IPTA, dibayar oleh duit pembayar cukai kalau awak takut untuk tampil mempertahankan sejarah negara Malaysia.
“Tak guna kamu berada di dalam menara gading kalau tidak berani berdepan dengan masyarakat yang sekarang ini keliru dengan sejarah di negara kita,” katanya.

Menurut Khairy, yang juga bekas anggota parlimen, dia sedang mengendalikan bersama satu lagi siri audio siar bertajuk Sejarah Kita tetapi mendapati sukar untuk menjemput ahli sejarahwan yang sanggup menjadi tetamu jemputan.
Dalam nada sinis, dia berkata ini adalah alasan mengapa orang ramai mendengar cakap ahli akademik tertentu walaupun komen mereka tidak masuk akal.
“Inilah sebab Professor Solehah adalah pakar sejarah nombor satu di Malaysia kerana walaupun dia punya pandangan adalah pandangan yang mengarut, dia berjaya berdepan dengan masyarakat.
“Dia berjaya jual dia punya sejarah yang mengarut itu sebab kamu semua penakut.
“Jadi, turunlah dari menara gading wahai semua profesor, profesor madya di jabatan sejarah di PTA semua ini,” tambah Khairy.

Bekas ketua Pemuda Umno itu dipercayai merujuk kepada pensyarah bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Solehah Yaacob, yang menerima kecaman berhubung dakwaannya mengenai sejarah.
Solehah pada November mendakwa bahawa orang Rom mempelajari kemahiran membina kapal daripada orang Melayu.
Pada 2024, dia mendakwa bahawa isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berasal dari alam Melayu.
Khairy menambah bahawa dia boleh menerima jika ahli sejarah menolak jemputannya, tetapi menggesa mereka untuk tetap berinteraksi dengan orang ramai bagi menangkis sebarang maklumat salah.
