Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa unsur khianat dalam kalangan pemimpin PAS, menjadi penghalang utama untuk sebarang pertimbangan kerjasama politik semula antara Umno dan parti itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pengalaman lepas ketika pembentukan Muafakat Nasional, memperlihatkan wujudnya sikap sedemikian dalam PAS, sekali gus menyebabkan hubungan antara kedua-dua parti tidak dapat diteruskan.

“Dulu saya yang memulakan Muafakat Nasional, tetapi “DNA” mereka adalah khianat.
“Jadi, kalau mereka menghilangkan rasa khianat dalam hati, mungkin kita boleh pertimbangkan, tetapi kalau khianat itu masih terus ada, saya rasa elok kita lupakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengajak Umno kembali bekerjasama dengan parti itu, kerana mendakwa Umno salah memilih rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas kenyataan Umno Negeri Sembilan yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan namun menolak Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Ahmad Zahid berkata pendirian itu turut dikongsi Umno pusat.
Campur tangan dalam undang-undang adat
Beliau berkata penolakan berkenaan disebabkan campur tangan Aminuddin dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.
“Kita tidak menyokong selagi beliau campur tangan di dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.
“Kita mahu supaya soal co-existence di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang yang Empat itu harus dihormati dan biarlah mereka yang menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Ditanya jika terdapat cadangan supaya Aminuddin digantikan sebagai Menteri Besar, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu tidak pernah dibangkitkan.
“Tidak, tidak ada cadangan,” katanya.
Terdahulu, Umno Negeri Sembilan dilaporkan berkata akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu, dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.
- Bernama
