Selepas merentasi perjalanan hampir 50,000 kilometer dan melewati 38 negara, pengembara solo mengelilingi dunia menggunakan kereta Perodua Kenari, Jack Voon Fuet Kui menamatkan ekspedisinya itu secara rasmi hari ini.
Walaupun sasaran awal diletakkan untuk mengunjungi 108 negara bagi ekspedisi itu, Jack tetap berpuas hati memandangkan dia berdepan banyak kekangan, terutama dari segi pembiayaan.
"Bagi perjalanan sepanjang dua tahun lebih ini, saya fikir kira-kira RM600,000 sudah dibelanjakan dan jumlah itu mungkin lebih jika saya tidak berjimat.
"Sejak bertolak dari Kuantan pada 1 Mei 2024, saya cuba untuk kurangkan perbelanjaan untuk penginapan dan makan... saya lebih banyak tidur dalam khemah dan memasak sendiri sepanjang ekspedisi ini," katanya ketika ditemui di perkarangan menara Kuantan 188, dekat Kuantan, Pahang.

Majlis meraikan Voon itu dihadiri Exco Perpaduan, Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Leong Yu Man.
Ditanya mengenai dari mana dia mendapat sumber pembiayaan bagi ekspedisi itu, Voon memberitahu dia menggunakan wang simpanan serta sumbangan daripada kenalan dan syarikat korporat.
"Banyak kawan bantu, ada yang bagi sumbangan semasa saya sedang dalam perjalanan ke negara tertentu dan berdepan masalah kerosakan kereta.
"Kerajaan Pahang juga ada dan saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya.

Selain itu, dia mengadakan persembahan menggunakan Sape - alat muzik tradisional Sarawak - di beberapa negara dikunjungi bagi mendapatkan dana tambahan.
"Memang niat dari awal sambil mengelilingi dunia, saya nak promosikan seni budaya Malaysia. Jadi saya bawa Sape dan buat persembahan secara 'busking' di negara tertentu.
"Penerimaan daripada masyarakat di sana amat baik dan mereka menunjukkan minat dengan seni budaya Malaysia yang unik.
"Bahkan ada rakan yang baru dikenali semasa ekspedisi ini, membawa rakan dan ahli keluarga mereka ke Malaysia untuk melihat sendiri keunikan negara kita selepas mendengar penjelasan saya berikan," katanya.

Dia juga memaklumkan sempat membuat persembahan Sape di Kedutaan Malaysia di Chile sempena sambutan Hari Merdeka tahun lalu.
Beg kena curi di Amerika Selatan
Berkongsi pengalaman pahit sepanjang ekspedisi itu pula, Voon memaklumkan dia pernah menjadi mangsa jenayah di sebuah negara Amerika Selatan apabila beg sandang mengandungi wang tunai dan laptop miliknya dicuri.
Ujarnya, insiden itu menyaksikan dia kehilangan sebahagian besar rakaman video dibuat sepanjang ekspedisi berkenaan.
"Wang tunai habis kena curi, mereka cuma tinggalkan kad pengenalan, pasport dan juga kad bank.
"Satu lagi beg saya tinggalkan di kaunter depan hotel juga dirembat kumpulan pencuri profesional, semua lesap tak sampai sejam saya tinggalkan di situ.
"Jadi rakaman ekspedisi masih dalam simpanan hanya yang sempat saya simpan dalam Google Drive dan laman sosial... itu saja kenangan yang ada," jelasnya.
Baiki kereta
Dia bercadang untuk memulakan ekspedisi mengelilingi Malaysia hujung bulan ini bagi berkongsi pengalaman di samping mempromosikan tempat pelancongan menarik di seluruh negara.
Katanya, buat masa ini dia ingin membaiki kenderaan Perodua Kenari itu terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan bagi ekspedisi seterusnya.
"Sudah tentu saya akan mulakan di Pahang sebelum ke negeri lain, tapi bagi saya masa untuk baiki kereta," katanya.
Voon juga memberitahu ekspedisi itu mendapat pengiktirafan sebagai 'First Local Car To Circumnavigate The Globe' oleh Malaysia Book of Records.
