Perikatan Nasional (PN) menyelar kerajaan Selangor dalam isu ternakan babi dan menyifatkannya sebagai ‘kerajaan daun keladi’ (tidak mendengar nasihat).
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor berkata demikian setelah istana berulang kali menolak penternakan babi, terutama melalui kenyataan supaya ia dinoktahkan semalam.
“Persoalannya, mengapa pihak Istana terpaksa mengeluarkan kenyataan berulang-ulang kali? Jawapannya sudah ditegaskan dalam sidang Dewan Negeri Selangor iaitu kerajaan negeri Selangor hari ini adalah kerajaan daun keladi!
“Seluruh kepimpinan Bersatu dan PAS Negeri Selangor akan terus memelihara kewibawaan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor.
“Kami juga berikrar untuk senantiasa melindungi dan mempertahankan kemuliaan institusi raja-raja Melayu sebagai teras raja berperlembagaan,” kata mereka.
Semalam, istana sekali lagi pendirian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal dengan pendirian menamatkan penternakan babi di negeri itu dan beralih kepada kegiatan import sepenuhnya.
Baginda juga menegaskan agar penternakan haiwan itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan, serta memastikan keharmonian rakyat terpelihara.
Pendirian sama dinyatakan bulan lalu susulan kebimbangan pencemaran dan keterhadan tanah Selangor yang sepatutnya digunakan untuk “tujuan pembangunan yang lebih ekonomik”.
Tak patut ada campur tangan pusat
Dalam kenyataan hari ini, Adun PN menyifatkan penegasan sultan Selangor sebagai sangat berhemah dan tidak seharusnya terus menjadi polemik sehingga ada campur tangan ke peringkat kerajaan persekutuan.
“Pendirian Tuanku Sultan jelas dan sangat berhemah bersandarkan hujah pencemaran tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai serta menjejaskan kawasan tadahan air akibat aktiviti penternakan babi.
“Demi memelihara keharmonian rakyat Negeri Selangor yang rencam, DYMM Tuanku Sultan Selangor telah menzahirkan cadangan agar daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor,” kata mereka.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil kelmarin berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyembah maklum pendirian Putrajaya berhubung syarat ketat bagi pembukaan ladang penternakan babi di Selangor semasa menghadap Sultan Sharafuddin baru-baru ini.
Fahmi berkata Anwar memberi taklimat kepada kabinet mengenai sesi menghadap tersebut yang turut disertai oleh Menteri Besar Amirudin Shari.
Fahmi berkata Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa sebarang kawasan penternakan babi hanya boleh dilaksanakan di kawasan baru yang jauh dari kawasan perumahan atau sumber kritikal seperti aliran air dan sungai.
Ia juga, kata Fahmi, mesti menggunakan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik.
