Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hal kapal LCS lagi: MP selar Khaled 'gagal'
Diterbitkan:  May 8, 2026 1:06 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menolak penjelasan Menteri Pertahanan Khaled Nordin bahawa kementerian sedang menggunakan saluran diplomatik untuk meneliti semula larangan eksport Norway yang boleh menyebabkan kapal tempur pesisir (LCS) Malaysia tidak dilengkapi sistem peluru berpandu antipermukaan.

Lim menyifatkan kenyataan Khaled itu tidak meyakinkan dan membangkitkan persoalan lanjut mengenai projek LCS yang sudah lama tertangguh.

“Rakyat berhak tahu sama ada kerajaan kini perlu menanggung kos tambahan untuk mengubah suai kapal atau mendapatkan sistem gantian sekiranya kontrak NSM (sistem peluru berpandu) benar-benar tidak dapat diteruskan akibat perubahan dasar eksport Norway.

“Selepas bertahun-tahun tertangguh dan berbilion ringgit dibelanjakan, rakyat kini melihat projek LCS bukan lagi sekadar projek bermasalah, tetapi berisiko menjadi simbol kegagalan pengurusan pertahanan negara,” kata Lim pada kenyataan.

Pada Rabu, Khaled berkata kementerian akan terus memastikan kesiapsiagaan negara dan keperluan pertahanan strategik tidak terjejas, sambil mengekalkan hubungan baik yang sekian lama terjalin dengan Norway.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan portal berita pertahanan Malaysian Defence pada hari sama yang mendakwa Norway melarang eksport Peluru Berpandu Tempur Tentera Laut (NSM) ke Malaysia.

Setiap daripada lima LCS kelas Maharaja Lela Tentera Laut Diraja Malaysia sepatutnya dilengkapi dengan lapan peluru berpandu sedemikian. Ia terutamanya digunakan untuk menyerang sasaran tentera laut dari jarak ratusan kilometer, tetapi juga boleh digunakan terhadap sasaran darat.

Kapal utama KD Maharaja Lela telah memulakan ujian laut pada bulan Januari dan dijadualkan untuk penghantaran pada bulan Disember.

Walau bagaimanapun, larangan eksport bermakna firma pertahanan Norway, Kongsberg perlu membatalkan kontrak yang ditandatangani pada tahun 2018, kerana ia tidak boleh menghantar peluru berpandu secara sah ke Malaysia yang akan melengkapkan kapal tersebut.

Di samping itu, peralatan sedia ada di LCS, seperti tanjakan untuk pelancar NSM dan pendawaian sampingan, mungkin perlu ditanggalkan, dan sistem pengurusan tempur kapal perlu diubah sebaik sahaja kerajaan memilih untuk menerima pakai peluru berpandu yang berbeza.

Ini memberi tekanan tambahan kepada projek yang telah ditangguhkan selama bertahun-tahun dan sangat diperlukan oleh tentera laut untuk memperbaharui armadanya yang semakin tua.

Larangan eksport bukan sahaja menjejaskan program LCS, tetapi juga pesanan yang dibuat tahun lepas untuk menggantikan peluru berpandu Exocet yang dipasang pada frigat kelas Lekiu KD Jebat dan KD Lekiu.

Mengulas lanjut, Lim menggesa Khaled tampil memberikan penjelasan terperinci di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta menamakan pihak yang bertanggungjawab atas dakwaan kecuaian berkaitan larangan Norway itu.

“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ia melibatkan kredibiliti sistem pertahanan negara dan keyakinan awam terhadap kemampuan Kementerian Pertahanan mengurus aset strategik negara,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS