Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap kutipan derma dan wakaf yang meragukan serta hanya menyalurkan sumbangan melalui saluran sah dan diyakini.
Dalam khutbah Jumaat bertajuk Meraih Keberkatan Dalam Bersedekah, Jais berkata terdapat segelintir individu dan organisasi didakwa mengambil kesempatan terhadap kepercayaan masyarakat terhadap amalan sedekah dan wakaf.
“Umat Islam mestilah berwaspada agar tidak terpedaya dengan kutipan derma yang meragukan dan tidak sah.
"Salurkanlah infak kepada badan-badan yang sah dan diyakini,” menurut khutbah itu.

Menurut khutbah berkenaan, terdapat pihak menggunakan imej agama serta penampilan tertentu bagi mengutip sumbangan secara tidak telus dan tidak bertanggungjawab.
Mimbar Jumaat turut membangkitkan contoh tabung wakaf al-Quran yang diedarkan di kedai dan restoran namun mushaf didakwa tidak sampai ke destinasi dijanjikan.
Selain itu, khutbah tersebut menyebut mengenai kutipan atas nama wakaf kerusi roda dan sumbangan kepada maahad tahfiz yang didakwa tidak jelas penerima akhirnya atau digunakan untuk tujuan lain termasuk kepentingan peribadi.
“Penyelewengan seperti ini amat serius dan merupakan satu bentuk penipuan atas nama agama yang bukan sahaja mencemarkan imej Islam, malah boleh mengundang kemurkaan Allah SWT,” menurut khutbah itu lagi.

Sehubungan itu, Jais menggesa orang ramai memastikan setiap sumbangan disalurkan kepada pihak yang amanah dan berdaftar selain mendapatkan rujukan daripada pihak berkuasa agama sebelum membuat sumbangan.
Khutbah itu turut menjelaskan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dipertanggungjawabkan mengawal urusan berkaitan kutipan derma, wakaf dan khairat bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti.
Jais turut mengesyorkan umat Islam di Selangor menggunakan saluran rasmi untuk menyalurkan sumbangan termasuk melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi zakat, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk wakaf dan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) bagi infak serta sedekah.
Mimbar mengakhiri khutbah dengan menekankan kelebihan amalan bersedekah yang disifatkan mampu menghapuskan dosa, menghindarkan bala serta membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
