Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA | Kenapa Norway larang hantar misil ke M'sia?

Projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghadapi satu lagi masalah selepas kerajaan Norway dilaporkan membatalkan penghantaran misil antikapal dan serangan darat (NSM) sebagai langkah memperketat kawalan eksport senjata canggih.

Ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perubahan dasar pertahanan di Oslo terhadap negara bukan anggota North Atlantic Treaty Organization, (NATO).

Menurut portal berita pertahanan Malaysian Defence, sumber memaklumkan bahawa Norway membuat keputusan untuk melarang penghantaran misil itu dan ia dilakukan tanpa rundingan awal pemakluman terlebih dahulu kepada Malaysia.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin kemudian dilapor mengesahkan bahawa dia dimaklumkan mengenai larangan penghantaran itu ketika menghadiri pameran DSA 2026 pada April lalu.

Khaled berkata Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan serta membincangkan langkah sewajarnya berkaitan isu itu.

Bagaimanapun, kerajaan Norway belum mengeluarkan kenyataan rasmi menyebut Malaysia sebagai negara yang dikenakan larangan penghantaran.

Sebaliknya, Kementerian Luar Norway dalam jawapan e-mel kepada Malaysian Defence pada 5 Mei lalu hanya menyatakan bahawa pihak berkuasa negara itu telah “menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu” susulan kawalan lebih ketat terhadap teknologi strategik.

Mereka juga tidak menjelaskan secara terperinci teknologi yang terlibat atau mengapa keputusan itu dibuat pada saat akhir.

Apa dasar Norway tentang eksport senjata?

Semakan Malaysiakini terhadap dokumen rasmi kerajaan Norway di laman Regjeringen.no menunjukkan negara itu sememangnya mempunyai undang-undang yang ketat mengenai eksport senjata dan teknologi pertahanan sejak sekian lama.

Akta Kawalan Eksport Strategik Norway 1987 memberi kuasa kepada kerajaan negara itu untuk melarang eksport teknologi atau produk yang boleh meningkatkan kemampuan ketenteraan sesebuah negara tanpa permit khas.

  • Undang-undang itu turut membenarkan kerajaan Norway:

  • menarik balik lesen eksport,

  • mengehadkan penghantaran senjata,

  • dan menyemak semula kelulusan jika berlaku perubahan politik atau keselamatan.

Dalam peraturan eksport pertahanan Norway “Regulations relating to the export of defence-related products, dual-use items, technology and services” yang dikemas kini pada September 2025 pula, lesen eksport boleh digantung, dibatalkan atau dihadkan skopnya sekiranya:

  • muncul maklumat baharu,

  • berlaku perubahan politik,

  • keadaan negara penerima berubah sehingga menjejaskan asas kelulusan asal.

Peraturan itu juga meluaskan kuasa Norway terhadap agensi kawalan eksport dan sekatan negaranya untuk menentukan sama ada sesuatu eksport senjata boleh diteruskan atau tidak.

Akta itu turut menyebut Norway boleh menghalang eksport sekiranya sesuatu teknologi dianggap boleh membangunkan kemampuan ketenteraan sesebuah negara dengan cara yang tidak selari dengan kepentingan keselamatan dan pertahanan utama Norway.

Pada masa sama, eksport produk pertahanan tertentu diberikan pengecualian khas kepada negara NATO dan negara Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), termasuk bagi urusan pemindahan teknologi serta kerjasama pertahanan.

Ini menjelaskan mengapa kebanyakan pengguna NSM terdiri daripada anggota NATO atau sekutu strategik Barat seperti Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Poland, Denmark, Kanada, Australia, Jepun dan Sepanyol.

Kontrak pada 2018

Malaysia pula dilaporkan menjadi satu-satunya pembeli utama NSM di luar kelompok itu dengan kontrak sudah dimeterai sejak 2018.

Pada 2018, Malaysia telah menandatangani kontrak pembelian misil NSM daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace untuk melengkapkan lima kapal LCS TLDM.

Peluru berpandu antipermukaan itu dipilih kerana kemampuan serangan jarak jauh, keupayaan pengelakan radar serta integrasi dengan sistem tempur moden.

Pada Ogos 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan di Parlimen bahawa TLDM akan menerima 48 misil NSM bagi projek itu.

Kementerian Pertahanan sebelum ini turut memaklumkan penghantaran misil itu dijangka bermula sekitar Mac tahun ini.

Bagaimanapun, hanya beberapa hari sebelum penghantaran dijadualkan dibuat, Malaysia dimaklumkan bahawa Norway membatalkan lesen eksport itu.

Menurut Malaysian Defence, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Lokman Hakim Ali berkata pegawai Norway memaklumkan bahawa Kongsberg menggunakan klausa “force majeure” kerana syarikat itu tidak lagi mempunyai hak undang-undang untuk menghantar misil tersebut kepada Malaysia.

Menurutnya, pegawai Norway menjelaskan undang-undang baharu negara itu kini melarang penghantaran senjata canggih kepada negara bukan NATO kecuali sekutu rapat mereka.

Situasi itu menyebabkan Kongsberg tidak dapat meneruskan kontrak walaupun ia telah ditandatangani sejak lapan tahun lalu.

Malah, Lokman berkata wakil Kongsberg sendiri hanya menerima notis larangan penghantaran pada hari yang sama dan tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.

Mengapa isu ini dianggap luar biasa?

Larangan eksport senjata lazimnya berlaku apabila sesebuah negara terlibat peperangan, dikenakan sekatan antarabangsa, atau berdepan konflik dalaman.

Namun Malaysia bukan negara bergolak dan tidak berada di bawah embargo antarabangsa.

Malaysian Defence menyifatkan tindakan Norway membatalkan penghantaran kepada negara yang tidak berperang sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah perolehan pertahanan Malaysia.

Lebih membimbangkan, projek LCS sendiri sudah lama tertangguh akibat kelewatan pembinaan, masalah pengurusan dan peningkatan kos.

Kontrak asal projek itu dianugerahkan pada 2011 bagi enam kapal bernilai sekitar RM6 bilion, namun selepas semakan semula kerajaan pada 2023, jumlah kapal dikurangkan kepada lima.

Kapal pertama yang dijadualkan diserahkan pada Ogos tahun ini juga telah ditangguhkan ke Disember susulan kelewatan penghantaran peralatan dan kerja pembaikan teknikal.

Setiap daripada lima LCS kelas Maharaja Lela TLDM sepatutnya dilengkapi dengan lapan peluru berpandu sedemikian untuk menyerang sasaran tentera laut dari jarak ratusan kilometer dan digunakan terhadap sasaran darat.

Kini, tanpa NSM, TLDM mungkin perlu mencari misil alternatif baru bagi memastikan kemampuan tempur LCS tidak terjejas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS