Sepasang kekasih hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka atas dua pertuduhan iaitu menyembunyikan kelahiran dan mengambil ubat bagi menghalang bayi dilahirkan hidup, bulan lepas.
Adam Harith Ahmad, 18, serta teman wanitanya yang berumur 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Majistret Uthman Abd Ghani.
Pada prosiding di hadapan Sharda Shienha, Adam Harith didakwa telah membungkus bayi yang sudah meninggal dunia itu dan meletakkannya di dalam bonet belakang sebuah kereta di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin pada 11.40 malam 25 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan remaja lelaki itu diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendengar laporan kimia serta laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, pada prosiding di hadapan Uthman, remaja perempuan berkenaan didakwa mengambil ubat jenis Misoprostol dengan niat untuk menghalang bayi dilahirkan dalam keadaan hidup di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di Melaka pada kira-kira 10 pagi 25 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan untuk mendengar laporan akhlak daripada JKM.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif dan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala Adam Harith diwakili peguam Mohd Farid Abdul Aziz.
- Bernama
