Pemergian Jalil Hamid bukan saja meninggalkan kesedihan dalam kalangan peminat tanah air, malah mengingatkan ramai orang kepada deretan karya yang pernah dihasilkannya sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.
Dalam dunia muzik, lagu Ayam dan Raya kekal menjadi siulan ramai kerana liriknya yang bersahaja, menarik dan dekat dengan kehidupan masyarakat, selain sarat dengan nasihat.
Dalam bidang lakonan pula, filem Laknat menjadi naskhah terakhir yang menampilkan lakonan seniman terbabit di layar perak.
Antara watak dibawa Jalil yang paling diingat penonton ialah Pak Munawer menerusi Zombie Kampung Pisang. Pak Munawer merupakan seorang pemilik warung yang rendangnya menjadi punca penduduk Kampung Pisang bertukar menjadi zombi.
Watak itu terus hidup dalam ingatan penonton kerana pembawaannya yang bersahaja tetapi cukup ikonik.
Pelakon, Bront Palarae, turut berkongsi penghormatan terhadap pemergian allahyarham. Menurutnya, dia membesar dengan karya-karya Jalil yang menjadi sebahagian daripada proses pembesarannya sejak kecil.
Walaupun tidak pernah berkesempatan bekerjasama, Bront berkata, dia sentiasa mengagumi bakat dan impian besar yang dimiliki allahyarham.
“Daripada apa yang saya dengar, dia seorang yang mempunyai impian besar. Jadi, kita bukan sahaja kehilangan permata dalam bidang seni lakon, tetapi juga seorang insan seni yang sangat disayangi rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Tarung: Unforgiven di GSC Mid Valley Megamall, Isnin lalu.
Lakonan yang ‘dahsyat’
Bront turut menyifatkan lagu Ayam dan Raya sebagai antara karya terbaik Jalil kerana dia membesar dengan lagu yang penuh nilai dan pengajaran itu.
Antara karya yang paling meninggalkan kesan mendalam kepada penonton ialah Bisik Pada Langit (2017) yang diinspirasikan daripada idea asal penerbit, Saniboey Mohd Ismail.
Filem itu bukan sahaja diangkat ke layar perak, malah diterbitkan dalam bentuk novel hasil tulisan Siti Khadijah menerusi terbitan Karyaseni.
“Idea yang saya dapat diinspirasikan oleh keluarga saya sendiri. Saya ada tiga orang adik beradik. Saya yang bongsu, selain kakak dan ada abang. Biasalah, bapa ini akan sayang anak perempuan lebih. Sama seperti di dalam filem itu,” ucapnya kepada Malaysiakini.
Bisik Pada Langit mengisahkan Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera), seorang pelajar di luar negara yang maut dalam kemalangan motosikal.
Sebagai anak perempuan tunggal kepada Wak Selamat (Jalil), Siti Hajar menjadi harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka.
Naskhah itu turut memaparkan konflik emosi dalam keluarga apabila sikap Wak Selamat yang terlalu menyayangi anak perempuan menyebabkan dua anak lelakinya, Zaidi (Beto Kusyairy) dan Ikram (Naim Daniel), berasa tersisih.
Saniboey berkata dia mula mengenali Jalil sekitar 1993 menerusi teater Raja Lawak arahan Allahyarham Zakaria Ariffin.

“Jalil merupakan pensyarah di ITM (kini UiTM) yang mengajar abang saya dalam bidang persembahan teater pada pertengahan 1980-an.
“Saya melihat persembahan teater Raja Lawak di Johor Bahru dan Jalil membawa watak Osman Bombay.
“Ketika itu, jarang persembahan teater dari Kuala Lumpur dibawa ke Johor Bahru. Kira dahsyatlah lakonan Jalil sehingga perkara sebegitu berlaku,” katanya.
Menurut penerbit itu, selepas menyaksikan persembahan Jalil, dia memasang niat untuk menjemput pelakon terbabit terlibat sekiranya dia menghasilkan filem atau drama sendiri suatu hari nanti.
Anak seni serba boleh
Impian itu akhirnya direalisasikan pada 2016 apabila Saniboey bekerjasama dengan pengarah Kabir Bhatia bagi menukangi Bisik Pada Langit.
Hasilnya – ia memberi kesan mendalam kepada penonton.
“Ada satu babak – ketika Wak Selamat menonton video Siti Hajar sebelum kemalangan.
“Dia tidak menangis, cuma air matanya mengalir perlahan, tetapi babak itu berjaya menyentuh hati semua orang,” katanya.
Filem itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan kutipan lebih RM3.5 juta dan muncul antara filem drama kekeluargaan tempatan yang mendapat sambutan hangat pada 2017.
Malah, menerusi filem tersebut, Jalil berjaya meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Telenovela 2018.
Selepas berita pemergian Jalil tular di media sosial Isnin lalu, ramai warganet memuat naik semula babak-babak menyentuh hati daripada filem itu sebagai tanda menandakan kesan yang ditinggalkan pelakon terbabit kepada diri masing-masing.

Ummi Nazeera misalnya menerusi hantaran di Threads turut meluahkan rasa syukur kerana pernah diberi peluang melakonkan watak anak kepada Jalil, sambil menyifatkan pengalaman tersebut sebagai kenangan yang akan disimpan selamanya.
Koordinator Prasiswazah (Filem) di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara, Azri Abu Hassan, menyifatkan pelakon kelahiran Masai di Johor itu sebagai seorang seniman serba boleh yang berjaya meninggalkan impak besar menerusi pelbagai medium yang melangkaui pentas teater dan muzik.
Menurutnya, antara karya yang paling memberi kesan ialah Bisik Pada Langit kerana kemampuan Jalil menyampaikan emosi mendalam walaupun dengan dialog yang minimum.

Azri berkata, lakonan allahyarham sebagai Pak Majid menerusi Sekeras Kerikil pula meninggalkan kesan mendalam kepada penonton melalui penghayatan watak yang cukup menyentuh emosi.
Dia merujuk kepada karya daripada buah tangan Rashid Sibir pada 2003.
Iklan raya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertajuk Conteng pada 2022 pula disifatkan antara karya yang berjaya mencuri perhatian ramai dan tular di media sosial kerana mesej kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Sementara itu, telefilem Lebai Sampan (2022) dianggap sarat dengan kritikan sosial serta menyentuh kehidupan masyarakat marginal.
Beri sesuatu yang bermanfaat
Watak yang dibawakan Jalil sekali lagi berjaya meruntun jiwa penonton menerusi lakonan yang penuh emosi dan dekat dengan realiti kehidupan.
Tambah Azri, Jalil dikenali sebagai seorang pelakon yang sangat teliti terhadap skrip dan penghayatan watak.
Justeru, katanya, pelakon itu akan mengkaji terlebih dahulu tawaran yang diterima bagi memastikan lakonannya tidak kelihatan stereotaip meskipun hanya membawa watak seorang ayah atau pak cik biasa.
“Dalam setiap karya, dia bukan sekadar mahu menghiburkan penonton, tetapi turut menyampaikan mesej, moral dan kesedaran kepada masyarakat.
“Bagi dia, seni ialah tanggungjawab untuk memberi sesuatu yang bermanfaat kepada komuniti,” katanya kepada Malaysiakini.
Pelakon dan penyanyi veteran itu meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam pada jam 12.30 tengah hari Isnin lalu pada usia 69 tahun.
Anak perempuannya, Afiqah Jalil berkata bapanya meninggal dunia dalam tidur.
Jenazah allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ 21.
