Bersatu dilihat meneruskan tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang dipercayai berpihak dengan bekas timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin, termasuk dalam kalangan ahli parlimen dan Adun.
Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, sekurang-kurangnya lima orang ahli parlimen dikenakan tindakan gantung keahlian selama dua penggal.
Mereka terdiri daripada Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Selain itu dua wakil rakyat di Kedah, dipecat keahlian oleh Bersatu iaitu Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Turut digantung keahlian ialah dua Adun di Perak, Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), manakala Ketua Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmat pula dipecat keahlian.
Menurut notis yang dilihat Malaysiakini, kesemua tindakan itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin Bersatu bersidang dan mendapati mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan serta kod etika dan tatakelakuan ahli parti.
Individu berkenaan bagaimanapun dibenarkan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Disiplin Bersatu turut mengeluarkan notis amaran pelanggaran disiplin parti kepada tiga ahli parlimen.
Mereka terdiri daripada Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Kalam Salam (Sabak Bernam) dan Zakri Hassan (Kangar).
“Lembaga Disiplin Bersatu memandang serius berkenaan hal ini dan selepas siasatan yang sewajarnya, lembaga memutuskan untuk mengeluarkan surat ini sebagai amaran
dan sebagai peringatan akan keseriusan bagi memastikan YB (yang berhormat) tidak mengulangi salah laku tersebut.
“Lembaga disiplin tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib yang lebih berat sekiranya tingkah laku ini berulang,” kata Mohd Radzi dalam notis amaran berkenaan.
