Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan peruntukan pusat kepada negeri itu.
“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda dalam kenyataan media malam ini.
Dalam kenyataan media ringkas itu juga, yang julung-julung kali dikeluarkan, Tengku Hassanal sempat memetik pantun lama, tanpa huraian, yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Pantun itu berbunyi seperti berikut:
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Peruntukan pada Pahang besar, kata Anwar
Terdahulu, Anwar berkata dia akan meminta Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan pusat kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal.
Katanya, Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.
“Saya hormat Tengku Mahkota... (tetapi) peruntukan kepada negeri Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa.
“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” kata Anwar mengulas teguran Tengku Hassanal hari ini.

Tengku Mahkota Pahang semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 hari ini bertitah mempersoalkan peruntukan pusat.
Menurut baginda, Pahang menerima kelulusan 133 projek baru dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan RM3.386 bilion.
“Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Selain itu, Tengku Hassanal juga turut menyatakan rasa kecewa dengan tindakan pusat tidak meluluskan usaha kerajaan Pahang untuk menambahkan hasil negeri antaranya melalui eksport pasir sungai.
Berikut kenyataan penuh istana:

